AM

TUDM MENANG TIGA EMAS DAN SATU PERAK DI SIIF 2024

02/12/2024 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya meraih tiga pingat emas dan satu perak menerusi penyertaan dalam Seoul International Invention Fair (SIIF) 2024 yang berlangsung dari 27 hingga 30 Nov.

Markas Tentera Udara dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek Inovasi RAIN berjaya merangkul dua pingat emas menerusi penilaian SIIF dan Thailand Invention Special Award, manakala projek inovasi RWR B-Sensing meraih pingat perak daripada penilaian SIIF.

Selain itu, TUDM dianugerahkan satu lagi emas menerusi Vietnam Innovation Special Award bagi kedua-dua projek berkenaan, selain turut menerima penghargaan World Innovation & Collaborative Idea Appreciation daripada lapan negara iaitu Korea Selatan, Indonesia, Maghribi, Thailand, Taiwan, Filipina, Arab Saudi dan Vietnam.

Menurut kenyataan itu, empat pegawai TUDM yang terlibat dalam pameran bertaraf dunia itu ialah Ketua Delegasi Inovasi TUDM Leftenan Kolonel Mohamad Rosdzni Abdul Karim, Ketua Projek RAIN dan juga Ikon Inovasi TUDM Mejar Mohd Haziq Izzat Sulaiman, Ketua Projek RWR B-Sensing Mejar Hasif Yahaya serta Ikon Inovasi Kementerian Pertahanan Mejar Hairul Zaimy Ibrahim yang bertindak sebagai moderator.

“Semangat dan kesungguhan empat pegawai yang mewakili TUDM telah berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan satu perak, menjadi kebanggaan seluruh warga TUDM. Ini sumbangan kemenangan terbesar inovasi TUDM peringkat dunia kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan,” menurut kenyataan itu.

Markas Tentera Udara memaklumkan kemenangan pasukan inovasi TUDM tidak hanya mencerminkan pencapaian luar biasa bagi negara, tetapi juga menyumbang kepada usaha menyelesaikan isu global.

“Kemenangan ini diharapkan akan menyuntik semangat warga TUDM untuk terus menyumbang idea kreatif, serta mendorong lebih banyak inisiatif inovasi bagi membantu pencipta atau penyelidik TUDM, ATM dan kementerian,” menurut kenyataan itu.

Selain TUDM, pasukan inovasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) turut membawa pulang pingat pada SIIF 2024, iaitu masing-masing dua pingat perak dan satu gangsa serta Singapore Special Award.

Kenyataan itu memaklumkan Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS) dilantik mengurus kontinjen Kementerian Pertahanan ke program berkenaan yang berlangsung di Seoul.

SIIF ialah program inovasi bertaraf dunia yang dinaungi World Intellectual Property Organization (WIPO) dan International Federation of Inventors’s Associations (IFIA). Edisi 2024 menyaksikan penyertaan 519 pasukan dari 32 negara, dengan projek-projek inovatif dinilai berdasarkan pelbagai kategori seperti kesihatan, alam sekitar dan teknologi maklumat.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan