AM

KERAJAAN SEDIAKAN PAS LAWATAN SOSIAL UNTUK WARGA PALESTIN DI MALAYSIA

02/12/2024 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyediakan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang untuk rakyat Palestin yang dibawa masuk ke Malaysia pada 16 Ogos lepas bagi menerima rawatan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pas itu untuk membolehkan mereka mempunyai dokumen sah semasa menetap di Malaysia sebelum dihantar pulang ke negara asal.

“Pemberian pas lawatan sosial jangka panjang ini sama seperti program kemanusiaan untuk Syria, Sudan dan Yaman yang pernah dilaksanakan sebelum ini oleh kerajaan Malaysia.

“Selain itu, Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur juga sedang memproses permohonan pasport dengan pihak berkuasa di Ramallah bagi rakyat Palestin yang memerlukan dan dijangka siap pada pertengahan Disember ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengenai perkembangan status terkini 41 pesakit rakyat Palestin bersama 86 waris yang dibawa dari Mesir untuk mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan.  

Adly berkata daripada keseluruhan pesakit yang dibawa seramai 40 orang selesai menerima rawatan dan dipindahkan ke Wisma Transit di Kuala Lumpur untuk menginap sementara bersama waris masing-masing manakala seorang pesakit masih meneruskan rawatan dialisis di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Beliau berkata kesemua hanya akan dihantar pulang selepas gencatan senjata antara Palestin-Israel berjaya dicapai dan keadaan di negara mereka kembali aman serta selamat. 

“Memandangkan situasi keselamatan semasa di Palestin, khususnya di Gaza masih belum selamat, kerajaan Malaysia dengan sokongan NGO iaitu Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) akan meneruskan misi kemanusiaan termasuk menyediakan keperluan asas seperti makanan, minuman dan tempat perlindungan,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan