PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menawarkan moratorium penangguhan pembayaran balik pinjaman bagi tempoh tiga hingga enam bulan kepada usahawan terjejas banjir.
KUSKOP dalam kenyataan hari ini memaklumkan moratorium itu diberikan berikutan terdapat usahawan dan koperasi yang mengalami kerugian setelah premis, peralatan serta stok barangan perniagaan rosak akibat bencana itu.
“Dalam tempoh moratorium, mereka mempunyai masa untuk memberi fokus kepada usaha pemulihan tanpa memikirkan tekanan kewangan daripada pinjaman yang perlu dibayar.
"Usahawan yang terjejas boleh menghubungi pejabat cawangan agensi KUSKOP berhampiran bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan inisiatif banjir yang ditawarkan," menurut kenyataan itu.
KUSKOP turut memaklumkan telah menggerakkan misi bantuan awal kepada mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.
Menurut KUSKOP, TEKUN juga telah menyediakan makanan kepada 1,500 mangsa banjir di tiga PPS di Kuala Nerus, Terengganu manakala di Kedah, Suruhanjaya Koperasi Malaysia melalui Koperasi Melayu Pulau Pinang Berhad telah membekalkan bekalan air bersih kepada penduduk sekitar Jeneri, Sik.
"KUSKOP telah merangka pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat secara besar-besaran selepas banjir pulih dengan pelbagai inisiatif bantuan dan program pembersihan pascabanjir akan dilaksanakan oleh Skuad Ihsan MADANI KUSKOP," katanya.
-- BERNAMA