AM

PAMERAN KARYA AGUNG PENGIKTIRAFAN BUAT TOKOH KRAF NEGARA - MOTAC

04/12/2024 01:07 AM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pameran Karya Agung – Kraf Warisan Negara di Muzium Kraf Kuala Lumpur merupakan pengiktirafan kepada semua tokoh dan adiguru kraf negara yang memberi inspirasi kepada penggiat industri, pelajar dan penyelidik serta orang awam.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan memaklumkan pameran itu menampilkan koleksi produk kraf daripada hasil kerja tangan lapan tokoh kraf negara dan 63 adiguru kraf.

“Pameran ini menjadi platform untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan seni kraf melalui penggunaan bahan, kepelbagaian motif, teknik dan kehalusan kerja tangan penghasilan produk kraf Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Pameran berkenaan dilancarkan oleh Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk `Ainu Sham Ramli bersempena dengan sesi walkabout Festival Kraf Pesona Tekstil 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengenai festival itu, MOTAC memberitahu ia berlangsung pada 28 Nov hingga 8 Dis ini untuk mengangkat hasil sentuhan kreatif dan ketelitian kerja tangan usahawan yang menghasilkan produk tekstil tempatan merangkumi batik, songket, sulaman, tekatan dan jahitan yang beridentitikan Malaysia.

Menurut MOTAC, festival itu diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Batik Malaysia pada 3 Dis setiap tahun dan turut dijalankan serentak di semua Kraftangan Malaysia cawangan negeri termasuk Kompleks Kraf Johor, Kompleks Kraf Langkawi dan Kompleks Kraf Melaka. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan