AM

'30 TAHUN, 30 KALI BANJIR' - DR YASIMAN

05/12/2024 02:00 PM

PASIR MAS, 5 Dis (Bernama) -- Sejak membuka klinik di pekan Rantau Panjang lebih 30 tahun lepas, setiap tahun jugalah Dr Yasiman Yusof terpaksa mengalami kerugian ribuan ringgit apabila kliniknya dinaiki air akibat banjir yang melanda di Kelantan.

Dengan situasi berterusan yang berulang setiap tahun ini, akhirnya beliau mengalah, dengan mengambil keputusan untuk menutup terus klinik itu menjelang akhir tahun ini.

Dr Yasiman Yusof, 66, berkata kliniknya itu yang merupakan swasta pertama dibuka di pekan Rantau Panjang itu terpaksa ditutup berikutan kos tinggi yang perlu ditanggung untuk membaik pulih dan membeli peralatan baharu, saban tahun. 

“Setiap kali banjir, sekurang-kurangnya RM10,000 perlu dibelanjakan untuk baik pulih dan tahun ini dijangka lebih lagi memandangkan tahun ini air naik pada paras paling tinggi sejak klinik ini dibuka dan lebih banyak barang-barang yang rosak. 

“Lagipun sudah ada tujuh klinik swasta di pekan Rantau Panjang ini, sebab itu saya sudah ambil keputusan untuk bersara di hujung tahun ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kliniknya di Rantau Panjang, di sini.

Beliau berkata sebelum kliniknya dinaiki air kira-kira pada Khamis lepas, ubat-ubatan dan peralatan berharga telah diselamatkan apabila dia meletakkanya di rumahnya di Gual Tinggi di sini yang tidak dinaiki air.

“Dalam tempoh 30 tahun, seingat saya ini paras air banjir yang paling tinggi. Air naik dengan agak cepat kerana Sungai Golok hanya terletak 50 meter dari klinik ini. Untuk mengubah lokasi klinik ini pula memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk membuat set up baharu yang pada saya agak tidak berbaloi,” katanya. 

“Memang berat untuk tutup klinik ini kerana dengan klinik ini saya dapat hantar anak-anak belajar sehingga ada yang menjadi doktor dan guru,” katanya. 

Beliau berkata premis itu mula disewa untuk dijadikan klinik selepas beliau meletakkan jawatan sebagai doktor di hospital kerajaan pada 1990.

Sementara itu tinjauan Bernama ke Rantau Panjang hari ini mendapati kawasan berkenaan sudah boleh mula dimasuki dengan jalan darat, selepas hanya boleh dimasuki dengan bot dan trak pihak sejak kira-kira enam hari lepas. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan