AM

MANGSA BANJIR MULA BERSIH RUMAH, PEMBERSIHAN DIBANTU SUKARELAWAN

09/12/2024 02:23 PM

ALOR SETAR, 9 Dis (Bernama) -- Penduduk terjejas banjir terutama di sekitar daerah ini mula kembali ke kediaman masing-masing untuk melakukan kerja pembersihan dan penyelenggaraan.

Tinjauan Bernama di kawasan Anak Bukit, Kepala Batas dan Gunung Keriang dekat sini, yang merupakan antara lokasi terjejas teruk akibat bencana itu mendapati kerja-kerja pembersihan rumah penduduk turut dibantu sukarelawan daripada pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).

Tan Chiu Wong, 54, dari Anak Bukit berkata rumah didiami bersama isteri dan dua anak perempuannya dipenuhi selut dan pasir, namun dia bersyukur kerana keadaan rumahnya akibat banjir sejak 29 Nov itu tidak seteruk beberapa rumah lain di kawasan itu.

"Semasa banjir, kami tumpang di rumah keluarga di Jitra dan pulang ke rumah tiga hari lepas.

"Memang letih nak buang selut ini, tetapi syukur kerana ada sukarelawan dari daerah lain datang membantu. Mereka tolong sembur air dan sental selut yang melekat di lantai... kami mangsa banjir sudah terlalu penat terutama dari segi mental," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Tan berkata selain itu ada NGO dan individu yang menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk antaranya makanan, minuman serta barangan keperluan yang sememangnya sangat diperlukan oleh mangsa banjir.

"Kerja-kerja pembersihan sudah selesai, tetapi buat masa ini apa yang kami perlukan adalah bantuan dalam bentuk kewangan kerana kebanyakan mangsa yang terjejas banjir ini kurang berkemampuan," katanya.

Sementara itu, Teoh Seng Chuan, 58, dari Gunung Keriang berkata dia dan ahli keluarganya masih dalam proses untuk membersihkan rumah dan membuang barangan yang telah rosak akibat ditenggelami air separas pinggang.

"Sejak beberapa hari lepas, memang ramai sukarelawan yang keluar masuk untuk membantu penduduk terjejas di kawasan ini. Ada juga yang datang hantar makanan dan minuman tetapi kami ambil keputusan untuk bersihkan rumah sendiri kerana masih mampu," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan