KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang kekal 47 orang yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 8 pagi ini.
Di JOHOR, jumlah mangsa kekal 36 orang daripada 11 keluarga yang masih berteduh di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak di daerah Segamat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan hari ini memaklumkan stesen Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat merekodkan bacaan aras air melepasi paras amaran dengan bacaan 8.80 meter (m), manakala Sungai Paya Dato, Mersing (1.45m) dan Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat (3.30m) berada pada paras waspada.
Menurutnya, keadaan cuaca di sembilan daerah di Johor diramalkan cerah kecuali Mersing yang dijangka mendung pagi ini.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir juga kekal dengan 11 orang daripada empat keluarga di daerah Maran dan ditempatkan di Balairaya Kampung Baru Pertanian.
Sementara itu, semakan di portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati hanya satu sungai utama di Pahang iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku Maran telah melebihi tahap amaran dengan bacaan aras air 18.57m.
-- BERNAMA