AM

MESYUARAT PERTAMA SMCC BUKTI HUBUNGAN KUKUH MALAYSIA-ARAB SAUDI

11/12/2024 08:51 AM


From Muhammad Ammar Shafiq Hamzah

 

RIYADH, 10 Dis (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Penyelarasan Saudi-Malaysia (SMCC) yang julung kali diadakan di sini Selasa mengesahkan semula hubungan kukuh antara Malaysia dan Arab Saudi.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawat dari Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al-Saud, di pejabat pusat Kementerian Luar Arab Saudi di sini.

SMCC merupakan mekanisme dua hala yang ditubuhkan untuk mempromosikan kerjasama dan berfungsi sebagai badan penyelaras antara kedua-dua negara dalam lapan bidang utama iaitu politik, keselamatan, pertahanan, ketenteraan, perdagangan dan pelaburan, tenaga dan alam sekitar, hal ehwal Islam, pendidikan serta sosiobudaya.

Menurut kenyataan Kementerian Luar  (Wisma Putra), pada mesyuarat tersebut, Mohamad menegaskan komitmen  Malaysia untuk meningkatkan hubungan dengan Arab Saudi, sambil menekankan kepentingan kerjasama dalam bidang utama seperti ekonomi, tenaga dan tenaga boleh diperbaharui, pendidikan, urusan haji, kesalinghubungan, pelancongan, pertahanan, pertanian serta keselamatan makanan.

Mohamad turut menyuarakan keyakinannya bahawa penubuhan SMCC akan mengukuhkan lagi hubungan itu dan memperluas skop kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Wisma Putra turut memaklumkan mesyuarat SMCC yang seterusnya dijadualkan berlangsung pada 2025 di Malaysia sekali gus mengukuhkan lagi komitmen kedua-dua negara untuk memajukan kerjasama jangka panjang yang sedia terjalin.

Dalam perkembangan lain, kementerian itu memaklumkan kedua-dua pemimpin itu turut bertukar pandangan mengenai isu serantau yang mendesak termasuk situasi di Palestin, Lubnan dan Syria.

“Mengenai Palestin, Malaysia terus menyokong pendirian Arab Saudi menyeru gencatan senjata segera serta menekankan keperluan untuk penyelesaian yang adil dan berkekalan berdasarkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, mengenai isu Syria, kementerian itu berkata kedua-dua Menteri Luar itu menyatakan harapan agar penyelesaian politik yang berpanjangan dapat dicapai bagi menamatkan konflik berterusan dan memulihkan keadaan normal demi kesejahteraan rakyat Syria.

Mesyuarat tersebut turut mencerminkan sokongan jelas dan komitmen teguh Malaysia untuk memupuk perkongsian yang kukuh bersama Arab Saudi serta bekerjasama dalam menangani cabaran serantau secara kolektif.

Malaysia dan Arab Saudi turut memperkukuh hubungan dua hala mereka dengan pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) selepas mesyuarat tersebut.

Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar Arab Saudi dalam kalangan negara ASEAN dan ketujuh terbesar di peringkat global.

Pada 2023, Arab Saudi merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia di Timur Tengah dengan jumlah dagangan bernilai RM50.52 bilion (AS$11.06 bilion).

Bagi tempoh lapan bulan pertama 2024, jumlah perdagangan dua hala mencatat nilai sebanyak RM30.09 bilion (AS$6.43 bilion).

Pada 2023, Arab Saudi merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia di Timur Tengah dengan jumlah perdagangan bernilai RM50.52 bilion (AS$11.06 bilion).

Bagi lapan bulan pertama 2024, jumlah perdagangan dua hala bernilai RM30.09 bilion (AS$6.43 bilion).

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan