MELAKA, 11 Dis (Bernama) -- Melaka menerima kehadiran 12.32 juta pelancong sejak Januari hingga Oktober lalu, sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 9.43 juta adalah pelancong domestik dan 2.98 juta pelancong antarabangsa.
"Mewakili kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka, saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan buat semua pelancong dan pengunjung kerana menjadi sebahagian daripada 12,325,264 juta orang yang mengunjungi Melaka bermula dari Januari hingga Oktober lalu sempena TMM2024.
"Saya yakin dan percaya, Melaka berada di landasan tepat untuk menarik lebih ramai pelancong sehingga hujung tahun ini, sekali gus membawa isyarat yang sektor pelancongan sudah kembali pulih. Ini masanya untuk kita membawa "dunia ke negeri Melaka!"," katanya menerusi Facebook rasminya.
Ab Rauf sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan negeri merangka lebih 70 program dan sambutan berskala besar bagi memeriahkan sambutan TMM2024.
Ia juga merupakan sebahagian daripada persediaan Melaka untuk menjadi tuan rumah bagi Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) yang akan diadakan di negeri tersebut pada September tahun depan.
Sektor pelancongan khususnya, di Melaka sebelum ini terjejas teruk susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak 2020.
-- BERNAMA