AM

PBAPP PERCEPAT LAKSANA PROJEK AIR UNTUK PULAU PINANG

08/01/2025 02:54 PM

GEORGE TOWN, 8 Jan (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berusaha mempercepat pelaksanaan beberapa projek air termasuk projek kolaborasi dan kerajaan persekutuan, kata Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan.

Beliau berkata empat projek Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) akan dimulakan tahun ini melibatkan pembinaan saluran air terawat baharu dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke Butterworth dan Kawasan Macallum ke Bukit Dumbar bagi meningkatkan pengepaman air terawat.

Dua lagi projek ialah LRA Empangan Mengkuang baharu 114 juta liter sehari (JLH) dengan penukaran Empangan Mengkuang yang Diperbesarkan (EMD) kepada ‘empangan harian’ dan projek LRA Sungai Kerian baharu 114 juta JLH. 

"Kerajaan negeri dan PBAPP juga berterima kasih kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) atas komitmen untuk bekerjasama dalam dua lagi projek WCP 2030 di Pulau Pinang iaitu projek LRA Sungai Perai baharu 136 JLH dan projek LRA Sungai Muda baharu 114 JLH," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Pada masa sama, Pathmanathan berkata kerajaan negeri dan PBAPP juga akan berusaha untuk melaksanakan enam projek air Persekutuan.

Enam projek berkenaan termasuk pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi 440 MLD baharu (Fasa 2C Projek Pembesaran Empangan Mengkuang – MDEP); pembinaan saluran Paip Dwi-guna 440 JLH baharu yang menghubungkan EMD dan Terusan Sungai Dua; pembinaan takungan air pinggiran sungai (TAPS) Sungai Muda dan Sungai Kerian.

Selain itu, beliau berkata kerja menaik taraf Empangan Bukit Panchor kini dalam peringkat kajian kebolehlaksanaan manakala projek baraj Sungai Muda baharu di Rantau Panjang untuk mengakses 1,500 JLH air mentah dari Sungai Muda.

Bagi Projek Air Perak-Pulau Pinang pula, Pathmanathan berkata Jabatan Bekalan Air Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mengeluarkan kenyataan tender awam bagi pelantikan perunding untuk pelaksanaan kerja-kerja fizikal.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan