PUTRAJAYA, 9 Jan (Bernama) -- Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penugasan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di lapangan telah meningkatkan kecekapan operasi agensi penguatkuasaan itu sekali gus memperkukuh kawalan dan keselamatan sempadan negara.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata setakat ini, JKDM menggunakan 40 mesin pengimbas bagasi moden berkeupayaan tinggi yang dilengkapi teknologi Al dalam penugasan di pintu masuk negara serta kamera badan (BWC).
“Mesin pengimbas ini mampu mengenal pasti barangan yang diimbas dalam masa 20 hingga 30 saat dengan ketepatan 100 peratus. Hal ini sekali gus meningkatkan kecekapan operasi kastam serta memperkukuh kawalan sempadan dan keselamatan negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Bagi penggunaan BWC, beliau berkata peranti berkenaan memberikan impak positif kepada imej jabatan sekali gus menyaksikan aduan terhadap anggota menurun daripada 13 kepada lapan.
“Kita bercadang untuk tambah (BWC) kerana projek perintis itu berkesan dan kita akan mohon peruntukan BWC untuk anggota di lapangan supaya integriti dan ketelusan dalam pengurusan aduan serta interaksi dengan orang ramai lebih baik.
“Kita juga mempunyai satu pusat kawalan di ibu pejabat JKDM yang masa nyata dapat memantau gerak-geri serta perkara yang berlaku di lapangan (libatkan anggota),” katanya sambil menambah perkara berkaitan usaha mempertingkatkan keselamatan di sempadan sedang dibincangkan dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
BWC ialah peranti kamera yang dipakaikan pada badan anggota semasa menjalankan tugas dan dicipta bagi tujuan merakam bukti dalam bentuk digital.
Beliau menegaskan penggunaan AI dalam penugasan bertujuan memastikan pematuhan undang-undang, mencegah kemasukan barang terlarang dan melindungi industri tempatan daripada ancaman penyeludupan serta mengurangkan ketirisan hasil negara.
“Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh integriti sistem perdagangan, tetapi juga memastikan kelancaran logistik dan menjadikan Malaysia sebuah hab perdagangan global yang selamat, telus dan kompetitif,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penjawat awam khususnya golongan muda perlu diberikan pendedahan maksimum dan latihan dalam bidang kritikal seperti AI serta peralihan tenaga bagi memperkukuh kecekapan mereka.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan berkenaan bukan sahaja dapat memastikan golongan muda memahami aspirasi Kerajaan MADANI, tetapi juga melengkapkan mereka dengan latihan yang relevan untuk menghadapi cabaran semasa.
Dalam usaha untuk melahirkan pegawai yang memiliki kepakaran mengesan tingkah laku yang mencurigakan melalui gerak badan dan riak wajah, Anis Rizana berkata JKDM turut melaksanakan kursus Neuro-Linguistic Programming (NLP) melibatkan 30 pegawai pelbagai gred di seluruh negara pada tahun lepas.
Ditanya mengenai modus operandi sindiket dadah, beliau berkata antara taktik terbaharu sindiket adalah melaksanakan penghantaran barang larangan itu melalui bungkusan untuk mengelak pengesanan pihak berkuasa.
“Kita (JKDM) adakan libat urus dengan pelbagai pihak untuk banteras aktiviti pengedaran dadah selain bekerjasama rapat dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB),” katanya.
-- BERNAMA