IPOH, 9 Jan (Bernama) -- Solusi lebih holistik perlu dirancang bagi mengelak banjir terus berulang di beberapa kawasan di Ipoh, kata Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How.
Lee berkata tumpuan perlu diberikan bukan hanya kepada kerja-kerja mitigasi jangka pendek tetapi perlu menerapkan perubahan iklim termasuk pembangunan lestari dalam setiap aspek.
Beliau berkata sudah tiba masa perkara itu diberi perhatian serius oleh semua pihak kerana banjir ialah fenomena alam yang tidak dapat dielakkan dan akan terus berlaku.
"Kemusnahan dan kehilangan yang berlaku jika berulang-ulang akan memberi kesan sangat negatif kepada mangsa banjir malah mengambil masa lama untuk kembali menjalani kehidupan normal," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Mangsa Banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta dekat sini hari ini.
Seramai 34 keluarga terjejas di Kampung Sri Kinta, Pengkalan Pegoh, Kuala Pari dan Cempaka Sari menerima bantuan pascabanjir berjumlah RM500 selepas rumah mereka dilanda banjir pada 1 Dis lepas.
Mengulas lanjut, Lee berkata usaha mengurangkan masalah banjir di Kampung Sri Kinta telah dilaksanakan melalui satu projek mitigasi di kawasan panas berlakunya banjir besar.
"Pihaknya juga berharap kerajaan dapat melihat keperluan agar peruntukan tambahan diberikan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya kerja penyelenggaraan dan naik taraf dapat dilakukan bagi mencegah banjir," katanya.
-- BERNAMA