NEW YORK, 9 Jan (Bernama-TASS) -- Rumah selebriti terkenal Amerika Syarikat yang juga hos TV, pelakon dan model, Paris Hilton, di Malibu musnah sepenuhnya akibat kebakaran di Daerah Los Angeles, California, lapor agensi berita Rusia TASS memetik media tempatan.
Menurut TMZ, rumah milik bintang itu hangus terbakar.
Paris Hilton tidak tinggal di rumah itu secara tetap kerana ia merupakan antara hartanah miliknya, menurut laporan media berkenaan.
Jabatan bomba California melaporkan, kebakaran tersebut telah memusnahkan kawasan seluas hampir 11,000 hektar dan terus merebak.
Kebakaran itu juga memusnahkan lebih 1,000 bangunan dan mengakibatkan sekurang-kurangnya lima kematian. Lebih 175,000 pelanggan elektrik di Daerah Los Angeles masih terputus bekalan elektrik.
Menurut syarikat perunding cuaca, AccuWeather, kerugian ekonomi akibat kebakaran tersebut dianggarkan antara US$52 bilion hingga US$57 bilion.
Pihak berkuasa tempatan telah meminta bantuan daripada anggota bomba dari daerah jiran serta perkhidmatan kecemasan dari negeri Washington, Oregon dan Nevada.
Namun, tiada satu pun daripada tiga kebakaran utama dapat dikawal sepenuhnya. Akibatnya, menurut CNN, jumlah kebakaran telah meningkat kepada enam. Kawasan kebakaran terus mengalami kelembapan rendah, disertai tiupan angin kencang.
-- BERNAMA-TASS