KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan tulang dan menyokong komuniti warga emas, Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD) menawarkan imbasan Densitometri Mineral Tulang (BMD) percuma bernilai lebih RM100,000 kepada warganegara Malaysia yang berumur 55 tahun ke atas.
SMCD dalam kenyataan hari ini berkata kempen ini akan berlangsung selama dua bulan sehingga Februari ini dan terbuka kepada 250 peserta terawal, yang juga akan menerima khidmat rundingan percuma pakar ortopedik bagi keputusan imbasan di samping mendapat nasihat lanjut.
“Saringan BMD ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai osteoporosis dan kepentingan pengesanan awal, yang memberikan sokongan berharga kepada individu yang berisiko.
“Kempen ini menyuntik semangat kepada warganegara untuk mengambil langkah proaktif ke arah kesihatan tulang yang lebih baik, memastikan masa depan yang lebih sihat untuk komuniti warga emas,” menurut kenyataan itu.
Kempen yang dilancarkan hari ini dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMCD Jasmine Lau Mooi Hun, Pengarah Perubatan SMCD Dr Lee Tuan Cheong, pengurusan Kumpulan Sunway Healthcare, rakan kongsi korporat, pelbagai persatuan dan perunding.
SMCD berkata inisiatif ini adalah sebahagian daripada kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) hospital sempena pembukaan hospital tersebut bulan lepas. SMCD adalah hospital keempat peringkat tertiari di bawah Kumpulan Sunway Healthcare.
Lau dalam kenyataan sama berkata kempen ini selaras dengan keperluan yang semakin meningkat bagi menangani osteoporosis kerana Malaysia adalah negara yang semakin menua dengan 8.1 peratus penduduk berumur 65 tahun ke atas pada tahun 2024.
Beliau berkata kempen ini mencerminkan komitmen mendalam mereka terhadap kesejahteraan komuniti, terutamanya komuniti Damansara.
“Di Pusat Perubatan Sunway Damansara, kami percaya khidmat kami bukan hanya dalam menyediakan penjagaan perubatan yang luar biasa, tetapi juga memberi sumbangan positif kepada komuniti dengan memastikan setiap orang mempunyai akses kepada sumber penjagaan kesihatan yang mereka perlukan untuk masa depan yang lebih sihat,” katanya.
Kenyataan itu berkata imbasan ini adalah langkah penting dalam pengesanan awal osteoporosis, satu keadaan yang sering tidak dikesan sehingga berlaku kejadian patah tulang.
Menurut kenyataan itu dengan 77 peratus wanita Malaysia yang menghidap osteoporosis pasca-menopaus tidak didiagnosis (laporan Persatuan Kesihatan Tulang Malaysia, 2020), program CSR ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal.
"Dengan menawarkan imbasan tulang percuma, SMCD berharap dapat mempromosikan penjagaan pencegahan dalam komuniti, memanfaatkan kepakaran ortopedik SMCD, yang merupakan satu fokus utama hospital ini.
"Inisiatif ini mengesahkan komitmen kami untuk meningkatkan kesihatan dan memastikan individu menerima rawatan penjagaan yang selayaknya mereka terima,” menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut mengenai SMCD dan inisiatif CSRnya, hubungi 019-6269191.
-- BERNAMA