KUALA LUMPUR, Jan 9 (Bernama) -- Peluang yang muncul hasil peralihan negara ke arah industri yang bernilai lebih tinggi menjadikan kini satu masa yang terbaik untuk bakat-bakat mahir dalam bidang teknologi pulang ke Malaysia, kata Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Beliau berkata Malaysia sedang meningkatkan rantaian nilai merentasi pelbagai industri dan kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk mewujudkan ekosistem yang lebih baik untuk profesional teknologi di negara ini.
“Terutamanya industri yang sudah kukuh seperti semikonduktor, dan kami juga sedang melihat untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam industri konvensional.
“Kita memerlukan ramai pekerja mahir untuk membantu melakukan transformasi, jadi saya fikir ini adalah masa terbaik untuk bakat-bakat mahir Malaysia untuk kembali,” katanya kepada Bernama di luar Forum Ekonomi Malaysia di sini hari ini.
Chang turut menekankan keperluan untuk memudahkan pemulangan bakat mahir teknologi Malaysia, termasuk memudahkan rentas sempadan bagi mereka yang mempunyai pasangan asing.
"Kita perlu lebih pantas dan fleksibel. Kita tidak boleh ada terlalu banyak sekatan dan perlu membantu bakat kita, terutamanya jika mereka mempunyai pasangan asing,” katanya.
Terdahulu, ketika sesi bertajuk Technology: Breaking Out, Chang menekankan kepentingan menarik bakat teknologi global ke Malaysia, mengakui bahawa tidak mungkin mengharapkan semua profesional Malaysia untuk pulang.
“Saya fikir adalah penting bagi industri dan juga kerajaan untuk memudahkan atau menjadikan dasar merentas sempadan kita lebih pantas dan fleksibel supaya Malaysia benar-benar boleh menjadi hab untuk bakat mahir teknologi dan syarikat permulaan teknologi,” katanya.
Chang berkata Malaysia mesti memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global dan tidak lagi boleh kekal di peringkat bawahan yang bergantung kepada buruh murah atau industri intensif buruh.
Beliau menekankan keperluan untuk memajukan teknologi bagi meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan memenuhi piawaian antarabangsa, termasuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan pematuhan hijau.
“Itulah sebabnya kita mempunyai Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang melihat kepada pertumbuhan tinggi, industri bernilai tinggi, dan kami fikir adalah sangat penting untuk kami melompat daripada status semasa kepada status yang lebih tinggi,” katanya.
-- BERNAMA