BEIJING, 10 Jan (Bernama-CMG) -- Langkah syarikat asing terus meningkatkan pelaburan di China mencerminkan saling untung dan sama menang menjadi inti pati kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dengan negara lain, kata jurucakap Kementerian Luar (MFA) Guo Jiakun.
Kebelakangan ini, banyak syarikat asing mengumumkan rancangan mereka untuk menambah lagi pelaburan di negara Tembok Besar.
Antaranya, pengeluar automotif Jepun merancang membina kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di China dan sebuah syarikat farmaseutikal Perancis akan menubuhkan pangkalan pengeluaran baharu di China.
Guo berkata terdapat lebih 50,000 syarikat asing ditubuhkan di China dalam tempoh Januari hingga November 2024, meningkat sebanyak 8.9 peratus tahun ke tahun.
Sepanjang lima tahun lalu, kadar pulangan pelaburan langsung asing (FDI) di China dicatat sekitar sembilan peratus, menduduki tempat teratas di dunia.
Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi yang mapan serta keterbukaan bertaraf tinggi yang terus diperluas merupakan sumber keyakinan terbesar bagi pelabur asing untuk meningkatkan pelaburan di China.
Sejak 2024, China mengurangkan langkah sekatan senarai negatif bagi akses pelaburan asing kepada 29 dan menghapuskan semua sekatan akses pelaburan asing dalam sektor pembuatan.
Pada masa sama, syarikat asing diberi layanan nasional sepenuhnya serta persekitaran perniagaan terus dioptimumkan.
Guo menambah semua negara dialu-alukan merebut peluang daripada pasaran China dan berkongsi hasil pembangunannya sehingga mewujudkan situasi sama menang.
--BERNAMA-CMG