AM

RM500 SUDAH CUKUP UNTUK MILIKI KAPAL TERBANG KAWALAN JAUH

11/01/2025 02:58 PM

Oleh Razif Rosli

KAMPAR, 11 Jan (Bernama) -- Berminat namun tidak berkemampuan mungkin menghalang ramai di luar sana daripada terjebak dalam hobi kapal terbang kawalan jauh.

Akan tetapi itu kisah dulu, kerana kata penggiatnya Mohd Omar Mohamed Hassan, kini set penuh mainan tersebut boleh dibeli pada harga serendah RM500. 

“Kalau 10 tahun dulu memang agak mahal, kerana pada masa itu badan pesawat sahaja berharga sekitar RM3,000 ke RM5,000, bergantung pada jenis. Malah, radio kawalan pun sudah mencecah RM2,500, belum lagi diambil kira perkakasan lain seperti bateri, minyak dan enjin,” jelas Presiden Kelab RC Aeromodelling PK Ipoh itu kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Omar, 49, bagaimanapun mengakui hobi itu menelan belanja tinggi kerana “apabila kita sudah mahir, maka kita akan naik taraf perkakas yang  boleh mencecah puluhan ribu ringgit.”

Menurut pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi ini lagi,  lazimnya seorang penggiat akan mengumpul koleksi sekurang-kurangya tiga buah pesawat.

“Saya sendiri ada empat pesawat yang masih boleh terbang,” katanya, menambah koleksi miliknya meliputi jenis F/A-18E Super Hornet 90mm EDF;  Durafly Tundra 1300mm; Thunder Stick 30cc; Spitfire 15cc dan Extra 300 3D serta helikopter.

Bercerita sejarah penglibatan dalam hobi itu, Mohd Omar berkata minat beliau terhadap kapal terbang membawanya ke dunia “hobi kayangan” berkenaan.

“Sejak kecil saya suka melihat kapal terbang yang lalu di ruang udara dengan rakan-rakan sehingga bayangannya hilang di mata. Namun saya hanya mula berjinak-jinak dalam hobi ini pada 2008,” ujarnya.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata ini, hobi itu menuntut kemahiran yang tinggi bagi memastikan pesawat yang diterbangkan tidak terhempas.

“Seperti biasa, antara perkara paling ditakuti pemain baharu adalah jika pesawat terhempas, dan seseorang itu perlukan masa yang mencukupi dalam menjalani latihan dengan pengajar mahir,” katanya.

Berhubung kelab itu yang ditubuhkan pada 2011 dan dinaungi oleh Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, beliau berkata setakat ini ia mempunyai 90 orang ahli dari seluruh Perak dan mereka akan berkumpul pada hujung minggu di  RC World Tuanku Jaafar Fixed Base Operation bagi melakukan aktiviti penerbangan.

Dalam pada itu, Mohd Omar berkata kegiatan tersebut bukan sekadar hobi kerana ada antara mereka yang turut menyertai pertandingan.

“Setakat ini, seorang ahli kelab Muhamad Syafiq Ab Muttalib kerap menyertai pertandingan, namun kebanyakannya di luar negara kerana di Malaysia masih kurang pertandingan pesawat kawalan jauh ini. 

“Antara pertandingan yang telah disertai beliau dan menaiki podium ialah Rotor Asia Master pada 2018 dan 2019 di Chengdu, China, iaitu tempat ketiga,  dan Scorpion Speed Cup 2019 di Hong Kong turut mendapat tempat ketiga,” katanya.

Sementara itu, bagi Kapten (B) Dr Ahmad Damanhuri Ibrahim, 70, menerbangkan pesawat kawalan jauh tidak semudah yang disangka.

"Walaupun saya pernah menerbangkan pesawat ringan, saya tetap berdepan kesukaran. Ada teknik yang perlu dipelajari dan perlu rajin terbangkan pesawat kawalan jauh ini untuk asah kemahiran,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan