AM

UTP KUMPUL LEBIH RM20 JUTA UNTUK PELAJAR PADA TOCCD 2025

11/01/2025 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Yayasan Universiti Teknologi PETRONAS (YUTP) dengan sokongan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Petronas, berjaya mengumpul lebih RM20 juta untuk pelajar yang layak melalui penajaan pada majlis tahunan Tapestry of Colours Charity Dinner (TOCCD) di sini malam tadi.

Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata YUTP yang ditubuhkan pada 2007, diasaskan dengan misi utama untuk mempromosikan pendidikan serta memberi peluang kepada pelajar yang berhak, tanpa mengira bangsa, jantina atau agama, mengejar impian mereka di universiti itu.

"Sejak penubuhannya, YUTP telah menganugerahkan biasiswa kepada 2,624 penerima dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM105 juta. Biasiswa ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga talian hayat, harapan dan keyakinan terhadap potensi setiap pelajar.

"Ramai antara kita pernah menjadi pelajar dan mungkin ada menerima bantuan kewangan. Disebabkan sokongan itu, kita berdiri teguh di sini. 

"Sekarang tiba masa giliran kita untuk menghulurkan bantuan sama, memberikan peluang kepada generasi akan datang dan menjadi sebab seseorang itu mampu bangkit mengatasi cabaran hidup mereka," katanya dalam ucapan pada TOCCD 2025.

Mohamed Ibrahim turut mengiktiraf sokongan daripada pelbagai penaja termasuk J.P. Morgan Chase Bank Berhad, CIMB, Deleum, Dialog Group Berhad, Tiger Gas, MISC Group, Kenanga Investors Berhad, T7 Global Berhad, Velesto Energy Berhad, Deloitte, Petra Energy Berhad, dan Shopee Malaysia.

Penghargaan turut dizahirkan beliau kepada penaja biasiswa korporat, iaitu Antara Steel Mills Sdn Bhd, Reinhausen Asia Pacific Sdn Bhd, Enquest Petroleum Production Malaysia Ltd, dan Velesto Energy Berhad.

"Sebagai organisasi kebajikan, semua sumbangan kepada YUTP dikecualikan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967," katanya.

Bersempena dengan ulang tahun ke-28 UTP, TOCCD 2025 turut melancarkan kempen pendanaan awam untuk tiga projek tanggungjawab sosial universiti yang diterajui pelajar: Blind Empowerment Campaign, Bakau Revival: Restoring Mangroves for a Sustainable Future, dan SunStops: Powered by Solar, Driven by Community.

UTP memaklumkan kesemua tiga projek ini bertujuan menangani cabaran masyarakat yang kritikal dan menyumbang ke arah masa depan lebih mampan.

Majlis itu turut menandakan pelancaran dua album gamelan baharu kumpulan muzik pelajar UTP Sanggar Kirana, iaitu Tala Perenggu dan Gatra 3 yang menampilkan gabungan lagu gamelan tradisional dan kontemporari.

Sanggar Kirana yang ditubuhkan pada 2002, berdedikasi untuk memelihara dan mempromosikan seni tradisional Malaysia, terutamanya Gamelan Melayu. Kumpulan itu telah membuat persembahan pada peringkat antarabangsa termasuk Malaysia Night in London dan Festival Gamelan di Solo, Indonesia.

Acara itu dihadiri oleh 500 tetamu termasuk Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Ahli Lembaga Pengarah UTP, rakan industri, tetamu korporat dan alumni UTP.

Ditubuhkan pada 10 Jan 1997, UTP menjadi universiti swasta terkemuka di Malaysia, dibina di kawasan seluas 400 hektar di Seri Iskandar, Perak.

Universiti berkenaan yang dimiliki sepenuhnya oleh Petronas menawarkan pelbagai program kejuruteraan, sains dan teknologi yang relevan dengan industri untuk peringkat sarjana muda dan pascasiswazah.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan