AM

ANWAR MELAWAT UAE 12-14 JAN, SERTAI ADSW

11/01/2025 05:37 PM

Oleh Kamarul Arifffin Md Yassin

ABU DHABI, 11 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE)  bermula 12 hingga 14 Jan ini, termasuk menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) di sini.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyertaan Anwar pada ADSW adalah atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum yang juga Pemerintah Abu Dhabi.

Perdana Menteri akan menyertai Upacara Pembukaan ADSW dan Majlis Anugerah Hadiah Kelestarian Zayed bersama Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan dari Afrika, Asia, Eropah dan Asia Barat.

Anwar akan turut menyertai dialog bertajuk 'ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity' dalam suatu sesi plenari yang diadakan sempena program ADSW 2025 itu.

Perdana Menteri juga bakal mengetengahkan pengamalan dan perspektif Malaysia mengenai usaha memajukan sumber tenaga mampan.

"Pada lawatan itu, Perdana Menteri dijadualkan bertemu Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi  Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan rakan sejawatnya Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum bagi mengukuhkan hubungan bilateral dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

"… dengan penekanan pada sektor utama seperti tenaga boleh baharu, keselamatan makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data. Isu serantau dan global yang berkepentingan juga dijangka akan dibincangkan," menurut kenyataan itu.

Anwar turut dijadualkan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA) yang bakal membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri juga akan menjalankan usaha meningkatkan kerjasama serantau terutamanya dalam konteks peranan ASEAN dalam mempromosi pembangunan dan inovasi hijau di Asia Tenggara.

Pada lawatan itu, Anwar bakal diiringi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Perdana Menteri kemudian akan berlepas ke London, United Kingdom pada Selasa bagi meneruskan program rasmi dalam usaha mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global dan hubungan strategik dengan rakan antarabangsa utama.  

Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE direkodkan bernilai RM39.53 bilion (US$8.61 bilion). 

UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah dagangan sebanyak RM39.63 bilion (AS$8.67 bilion) pada 2023.

Malaysia juga merupakan rakan dagang keempat terbesar UAE dalam kalangan negara anggota ASEAN dan ke-32 terbesar pada peringkat dunia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan