SIBU, 11 Jan (Bernama) -- Projek pembinaan jalan baharu Jalan Teku Pasai-Siong menghubungkan Kemuyang dijangka bermula selepas sambutan Hari Gawai tahun ini.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jalan bertingkat sepanjang 6.172 kilometer (km) itu dijangka membawa perubahan besar dengan mengurangkan masa perjalanan dari Jalan Teku Pasai Siong ke Desa Kemuyang kepada tujuh minit berbanding 36 minit.
Bernilai RM89 juta, projek itu merupakan Pakej Satu daripada tiga pakej pembinaan jalan dengan Pakej Dua melibatkan penaiktarafan Jalan Teku Pasai Siong ke Bulatan Universiti Teknologi Sarawak kepada jalan berkembar dua lorong dua hala, dan Pakej Tiga melibatkan penaiktarafan Jalan Persimpangan Taman Desa Kemuyang ke arah Jalan Sibu-Bintulu mengikut piawaian standard JKR R5.
“Ini sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan lagi bandar Sibu yang diperlukan bagi pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Semula Bukit Assek,” katanya semasa majlis pecah tanah projek tersebut di Kemuyang hari ini.
Beliau berkata jalan berkenaan akan dibina bertingkat menggunakan kaedah Building Industry Modelling (BIM) bagi kawasan tanah berpaya.
“Saya telah meminta JKR untuk menggunakan kaedah baharu bagi pembinaan jalan ini. Pembinaan jalan di atas tanah seperti kebiasaannya adalah murah pada permulaannya namun berikutan tanah berpaya jalan akan mendap dan kos menyelenggaranya adalah tinggi,” katanya.
Pembinaan projek jalan yang sudah ditender pada 4 Jan lepas dijangka siap dalam masa dua tahun.
Sebagai satu inisiatif utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, projek itu menjadi manifestasi komitmen teguh kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan perhubungan serta merancakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan tersebut.
Projek itu dijangka membawa impak signifikan kepada penduduk setempat melalui penyediaan infrastruktur yang lebih efisien dan akses jalan lebih baik.
Selain itu, ia juga dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kawasan perumahan dan komersial di Sibu, sekali gus memperkukuhkan daya saing dan tarikan ekonomi bandar tersebut.
-- BERNAMA