SUKAN

JOHOR SOUTHERN TIGERS GENGGAM MAHKOTA MBL 2024/25

11/01/2025 11:59 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Tiada siapa dapat menyekat penguasaan Johor Southern Tigers (JST) apabila mereka merangkul kejuaraan dalam final Liga Bola Keranjang Malaysia (MBL) Musim 2024/25 dengan menundukkan Penang Sunrise Youngsters dengan kemenangan bergaya 83-66 di Stadium MABA hari ini.

Kemenangan itu membuktikan pepatah ‘nasib memihak kepada yang berani’ apabila pasukan JST mempamerkan penguasaan mereka di gelanggang dengan pengawal penjaring Carl Bird Jabari dinobatkan sebagai Pemain Paling Berharga (MVP).

Carl yang ditemui oleh Bernama selepas menerima plak MVP daripada Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) Datuk Seri Lee Tian Hock menyatakan dia berasa seperti berada di ‘atas awan’ berikutan kemenangan itu.

“Saya rasa seperti juara. Itulah kami. Kami membuktikan bahawa kami adalah pasukan terbaik di negara ini, jadi saya berada di puncak dunia sekarang.

“Saya suka bola keranjang Malaysia dan saya tidak tahu apa akan jadi pada masa depan. Saya hanya teruja untuk melihat apa seterusnya,” katanya.

Beliau juga menggesa rakan sepasukannya untuk tetap yakin dan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dengan bakat unik yang mereka miliki serta percaya bahawa tiada perkara yang tidak dapat dicapai jika mereka bekerja keras setiap hari.

Sementara itu, Tian Hock berkata kebangkitan JST yang berjaya menewaskan juara bertahan NS Matrix Deers pada separuh akhir adalah petunjuk jelas bahawa bola keranjang akan terus berkembang maju dan menjadi lebih hebat dalam kejohanan akan datang.

“Ini adalah tahun ketiga dan ia merupakan perkembangan yang baik kerana akhirnya ada pasukan yang  boleh kalahkan NS Matrix. Bagi saya, itu motivasi sebenar yang membuatkan Johor Southern Tigers menang di final hari ini,” tambah beliau. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan