MELAKA, 13 Jan (Bernama) -- Tiga pengusaha makanan bakal berdepan tindakan undang-undang kerana menyimpan barang kawalan bersubsidi tanpa kebenaran dalam serbuan berasingan di Bukit Katil dan Bukit Baru, di sini semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar berkata sebanyak 62 kilogram (kg) gula pasir kasar, gula pasir halus (24 kg), tepung gandum (50 kg) dan minyak masak peket (158 kg) bernilai RM1,059.70 dirampas dalam serbuan menerusi Op Kita Gempur itu.
"Hasil risikan selama dua minggu, kita telah mengesan tiga premis terlibat masing-masing sebuah restoran Arab, restoran 24 jam dan kedai menjual makanan bergoreng disyaki menyimpan barang kawalan bersubsidi tanpa permit di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Norena berkata siasatan awal mendapati barang kawalan itu diperoleh para pengusaha berkenaan melalui orang tengah pada harga lebih tinggi berbanding harga pasaran di samping membelinya di premis runcit berdekatan bagi digunakan di premis perniagaan masing-masing.
Beliau dalam pada itu mengingatkan peniaga di negeri ini agar sentiasa mematuhi undang-undang dengan KPDN Melaka komited melaksanakan inisiatif Kita Gempur dan pengguna diseru menyalurkan aduan menerusi saluran ditetapkan agar tindakan dapat diambil bagi melindungi hak mereka.
-- BERNAMA