AM

MCMC TURUN 8,756 KANDUNGAN BERKAITAN BULI SIBER TAHUN LEPAS - TEO

13/01/2025 03:32 PM

BERA, 13 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan sebanyak 8,756 kandungan berkaitan buli siber sepanjang tahun lepas, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata angka berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya iaitu dengan sebanyak 1,763 kandungan diturunkan. 

"Kita semua perlu lebih berhati-hati dan bijak dalam menggunakan platform digital, serta sentiasa menjaga etika dalam berkomunikasi. Beringatlah untuk klik dengan bijak dan semak sebelum sebar.

"Buli siber boleh memberi kesan yang sangat negatif kepada mangsa dan kita semua berperanan untuk mencipta persekitaran digital yang lebih selamat, positif dan harmoni," katanya ketika berucap di Sekolah Kebangsaan Bukit Rok semasa mengadakan lawatan kerja di sini hari ini. 

Teo berkata murid sekolah berkenaan telah diberikan pendedahan advokasi Klik Dengan Bijak atau KDB iaitu penggunaan dalam talian secara positif, beretika, selamat dan bertanggungjawab melalui aktiviti dan permainan interaktif Celik Rimba KDB.

Beliau berkata MCMC telah melaksanakan 46 program KDB dengan capaian penglibatan lebih 17,000 peserta di Pahang pada tahun lepas. 

"Saya amat optimis bahawa melalui KDB ini, kita semua akan lebih dilatih untuk menjadi pengguna telekomunikasi yang bijak, beretika dan peka terhadap penyampaian maklumat yang cepat, tepat, dan cermat," katanya.

Mengenai pembangunan infrastruktur telekomunikasi di kawasan Orang Asli Parlimen Bera, Teo berkata lima menara baharu turut dibina melibatkan kawasan Kampung Bukit Rok, Kampung Bukit Gemuruh dan Kampung Sungai Tuang yang sudah beroperasi. 

Dua lagi katanya ialah di Kampung Gaquyah dan Kampung Kuin Lenguit yang masih dalam pelaksanaan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). 

Dalam pada itu, Teo berkata beliau telah meminta MCMC terus bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan untuk mengenal pasti lokasi baharu penempatan Orang Asli dan kampung tradisional yang masih menghadapi masalah capaian telekomunikasi untuk disenaraikan dalam perancangan projek pada masa akan datang.

Beliau berkata pihaknya akan terus memastikan setiap rakyat Malaysia menikmati akses kepada perkhidmatan telekomunikasi dan Internet yang baik sama ada di kawasan bandar mahupun di luar bandar termasuk perkampungan Orang Asli. 

Terdahulu, beliau turut melakukan ujian kualiti perkhidmatan 4G dari menara JENDELA selain meluangkan masa beramah mesra dengan murid sekolah berkenaan. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan