DUNIA

KADAR JANGKA PENDEK DITUTUP STABIL BERIKUTAN OPERASI BNM

13/01/2025 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai dalam sistem konvensional meningkat kepada RM29.91 bilion daripada RM21.13 bilion pagi ini manakala mudah tunai dalam dana Islam menyusut kepada RM24.41 bilion daripada RM25.99 bilion sebelum itu.

Awal hari ini, bank pusat itu menawarkan dua tender repo berbalik dan tender repo berbalik semalaman.

Selain itu, bank pusat itu mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan Murabahah komoditi bercagar dengan tempoh seminggu, satu bulan dan tiga bulan.

Pada 4 petang, BNM menawarkan tender pasaran wang konvensional bernilai RM29.90 bilion dan tender pasaran wang murabahah bernilai RM24.40 bilion, kedua-duanya bagi tempoh matang sehari.

Setakat 10 Januari, Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan