AM

SARAWAK MINTA UNIMAS KAJI CAMPURAN PADI HIBRID TEMPATAN DAN CHINA

16/01/2025 06:10 PM

SIBU, 16 Jan (Bernama) -- Sarawak meminta Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) membuat kajian terhadap campuran benih padi hibrid yang dihasilkan dengan benih padi hibrid dari China, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kajian itu diharapkan akan menghasilkan benih yang mampu meningkatkan pengeluaran padi Sarawak, sekali gus tidak lagi perlu mengimport beras menjelang tahun 2030.

"Syarikat swasta Onemas Agriculture Sdn Bhd telah mula dengan teknologi benih padi dari negara China ini," katanya sambil menambah, padi yang ditanam itu dapat dituai selepas tiga bulan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penuaian Padi Hibrid dan Majlis Perasmian Kilang Padi Onemas Agriculture Sdn Bhd di Sungai Padi di Bintangor hari ini.

Abang Johari berkata kajian itu kelak akan memberikan penekanan kepada kualiti padi hibrid yang sesuai ditanam di Sarawak.

Abang Johari berkata kerajaan negeri juga telah mengenal pasti kawasan di Sungai Padi yang mempunyai struktur tanah sesuai untuk menjadi lembah pengeluaran padi Sarawak, selain memberikan bantuan dari segi pembinaan saliran air bagi menggalakkan banyak pihak termasuk petani kecil menanam padi. 

“Dengan kaedah-kaedah baharu penanaman padi, sembilan tan padi dapat dihasilkan bagi setiap hektar tanah, sembilan kali lebih banyak daripada menggunakan kaedah lama.

"Sasaran kita adalah 240,000 tan melalui penanaman padi di lembah Lawas, Limbang, Kuching dan di sini. Jadi kita tidak bergantung kepada import beras," katanya.

Abang Johari berkata Sarawak juga boleh mengeksport beras pada masa akan datang sekiranya terdapat lebihan bekalan.

Beliau berkata kerajaan negeri berhasrat untuk membekalkan jentera-jentera bagi pengeluaran padi kepada persatuan-persatuan peladang, yang kelak akan disewakan kepada petani-petani kecil yang memerlukan.

"Selain itu, kita boleh hasilkan produk hiliran seperti tepung beras bagi menghasilkan biskut," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan