AM

SSM PERKENAL TIGA KRITERIA PENGECUALIAN AUDIT KEWANGAN SYARIKAT PERSENDIRIAN

16/01/2025 07:30 PM

SHAH ALAM, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan tiga kriteria pengecualian audit kewangan syarikat persendirian bertujuan untuk membantu entiti perniagaan berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata syarikat persendirian yang ingin mendapatkan pengecualian audit kewangan itu perlu memenuhi mana-mana dua daripada tiga kriteria iaitu perolehan tahunan syarikat tidak melebihi RM3 juta dalam tahun kewangan semasa dan dua tahun kewangan terdahulu.

“Kedua, jumlah aset syarikat dalam tahun kewangan semasa dan dua tahun kewangan terdahulu tidak boleh melebihi RM3 juta, dan ketiga bilangan pekerja pada akhir tahun kewangan semasa dan dua tahun kewangan sebelumnya tidak melebihi 30 orang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Armizan berkata bagi memastikan kelancaran dan ketersediaan semua pihak dalam menghadapi perubahan kelayakan, kenaikan nilai ambang akan dilaksanakan secara berperingkat melalui tiga fasa dalam tempoh tiga tahun bermula 2025 hingga 2027.

Dalam pada itu, sebanyak 215,008 syarikat persendirian yang aktif dalam rekod SSM berpeluang mendapat inisiatif itu, sekali gus membantu entiti perniagaan berkelayakan dalam kalangan usahawan muda termasuk yang baharu beroperasi dan didaftarkan.  

“Pelaksanaan kriteria baharu ini selaras dengan komitmen SSM untuk mengurangkan beban dan kos pematuhan yang dihadapi oleh syarikat persendirian terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Adalah diharapkan inisiatif ini juga dapat menggalakkan pertumbuhan dan pertambahan pendaftaran entiti syarikat, serta perniagaan dalam kalangan usahawan belia termasuk golongan mahasiswa,” katanya.

Armizan berkata berdasarkan rekod SSM sehingga 31 Dis lepas, pendaftaran entiti syarikat dan perniagaan dalam kalangan belia adalah seramai 246,463 pengarah (ROC), 258,474 pemegang saham (syarikat-ROC), pemilik perniagaan (792,794 orang) dan pekongsi dalam entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) sebanyak 40,855.  

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan