KANGAR, 18 Jan (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan RM9,065,700 untuk Bantuan Persekolahan MAIPs bagi tahun 2025 yang akan memanfaatkan 12,951 pelajar sekolah di Perlis.
MAIPs dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan itu akan disalurkan kepada 5,073 pelajar sekolah menengah, 7,802 pelajar sekolah rendah, 38 pelajar sekolah menengah agama rakyat dan 38 lagi pelajar sekolah rendah agama rakyat, dengan masing-masing pelajar akan akan menerima RM700 tiap seorang.
MAIPs berkata simbolik penyerahan bantuan itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau baru-baru ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs dalam kenyataan sama bertitah MAIPs sentiasa prihatin terhadap pembangunan pendidikan di negeri berkenaan.
"Justeru saban tahun MAIPs akan menyalurkan bantuan persekolahan untuk dimanfaatkan oleh ribuan pelajar di seluruh negeri Perlis. Diharapkan bantuan ini dapat memberikan semangat serta pemangkin kepada kecemerlangan anak-anak pelajar yang dikasihi," titah baginda.
-- BERNAMA