KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Ekonomi Malaysia diunjur berkembang pada kadar sederhana 4.5 peratus hingga 5.0 peratus pada 2025, didorong oleh manfaat asas ekonomi yang kukuh serta peningkatan pelaburan asing, kata Hong Leong Bank Bhd (HLB).
Dalam perkongsian prospek ekonomi itu dengan kalangan pelanggan, penganalisis dan media di Simposium Perdana Kekayaan HLB 2025 pada Sabtu, bank itu berkata pendorong pertumbuhan utama itu termasuk peningkatan semula pelancongan, inisiatif tenaga bersih di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan momentum pembangunan infrastruktur di Johor.
Selain itu, kedudukan negara sebagai penggiat berkecuali dalam ketegangan perdagangan global akan turut melonjakkan tarikannya di mata pelabur yang mahukan kestabilan dan pempelbagaian.
Sementara itu, Pengarah Urusan Pemasaran Globalnya Hor Kwok Wai optimis Malaysia akan menjadi destinasi pelaburan yang menarik pada tahun ini berikutan jangkaan kadar faedah yang kekal serta inflasi yang mampu diurus.
“Satu lagi faktor yang boleh menyumbang adalah sektor pelancongan Malaysia. Bagi saya, aspek ini tidak dihebahkan dengan baik secara amnya.
“Peningkatan semula pelancongan ini adalah jelas serta dijangkakan menjadi kukuh dan menyuntik manfaat kepada ekonomi pada 2025,” katanya dalam sesi pembentangan pada acara sama.
Ketua bahagian Pengurusan Kekayaan Serantau HLB Jeffrey Yap pula mengetengahkan peranan bank itu sebagai rakan boleh diyakini dalam pengurusan kekayaan dan menekankan komitmen dalam menyokong matlamat kewangan pelanggan membabitkan ruang lingkup dinamik global.
Beliau berkata landskap pengurusan kekayaan juga berkembang pesat dengan penyelesaian yang dijana kecerdasan buatan (AI), kebolehcapaian mudah alih serta pendemokrasian maklumat secara drastik yang mengubah kaedah atau cara orang ramai melabur.
Transformasi yang berkembang pantas ini berlaku dalam latar belakang anjakan signifikan penciptaan kekayaan global dengan rantau Asia Pasifik menjadi penerajunya.
“Di HLB, kami sedang menerimaguna perubahan ini bagi meningkatkan pengalaman anda, namun pada masa sama, kami juga akui pengurusan kekayaan ini melangkaui teknologi. Ini mengenai memahami nilai, aspirasi serta legasi anda,” katanya.
Mengulas prestasi industri yang bakal menyerlah tahun ini selain AI, beliau berkata ini merangkumi penjagaan kesihatan dan tenaga boleh baharu.
“Pada pandangan saya, banyak kemajuan teknologi ini berteraskan AI yang digunakan dalam sektor penjagaan kesihatan, terutama genetik dan analisis genom, peralatan serta perubatan robotik.
“Selain itu, di sebalik pengurangan dalam kos pengeluaran, tenaga boleh baharu ini akan terus menjadi lebih kukuh. Tahun ini misalnya berlaku cuaca melampau dan kami percaya tenaga sedemikian perlu menjadi tumpuan utama,” katanya kepada pemberita.
Pada acara itu, HLB turut mengetengahkan potensi AI sebagai medan seterusnya dengan sektor menumpukan tenaga, pengurusan kuasa dan pengkomputeran kuantum menawarkan peluang besar.
Sejajar dengan kitaran inovasi sebelum ini seperti era komputer peribadi dan telefon pintar yang menyaksikan turun naik, pelabur juga dinasihatkan untuk menerima ketidaktentuan serta menyasarkan ganjaran bagi tempoh panjang, katanya.
-- BERNAMA