Daripada D.Arul Rajoo
LONDON, 17 Jan (Bernama) -- Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menyediakan peluang pertumbuhan lebih besar dalam perdagangan, pelaburan, dan pertukaran pengetahuan antara Malaysia dan United Kingdom, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, kata beliau, usaha gigih perlu dilakukan untuk merealisasikannya pada masa depan.
“Ada janji yang perlu kita tepati, langkah kita masih panjang dan banyak yang kita perlu dilakukan pada masa depan,” kata Anwar.
Beliau menegaskan pembinaan kapasiti yang proaktif dan kerjasama teknikal merupakan langkah penting di bawah CPTPP, bukan sahaja dalam kalangan syarikat besar tetapi juga terutamanya bagi berjuta-juta perusahaan kecil dan sederhana di seluruh Malaysia dan United Kingdom (UK).
Perdana Menteri berkata demikian semasa menyampaikan syarahan beliau di London School of Economics, bertajuk "The Adaptive Edge: Malaysia’s Global Strategy in an Uncertain Era", yang dihadiri kira-kira 500 pelajar universiti tersebut.
“Hanya dengan berbuat demikian, Malaysia dan UK boleh benar-benar mengoptimumkan hubungan dan memaksimumkan potensi perjanjian untuk saling melengkapi, meningkatkan pertumbuhan bersama, dan mencipta peluang yang inklusif untuk perniagaan dan komuniti di kedua-dua pihak.
“(Oleh itu), kita berharap dapat meningkatkan lagi hubungan ini ke tahap yang lebih tinggi melalui CPTPP. Malaysia mengalu-alukan penyertaan UK baru-baru ini, menandakan perjanjian perdagangan bebas pertama yang menghubungkan kedua-dua negara kita,” kata Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan.
Menerusi peruntukan berkualiti tinggi, termasuk pengurangan tarif komprehensif, peraturan diselaraskan dan perlindungan pelaburan yang dipertingkatkan, CPTPP membuka pasaran baharu untuk syarikat Britain dan juga Malaysia, kata beliau.
CPTPP adalah blok perdagangan Asia-Pasifik yang terdiri daripada 11 negara anggota serta UK. Sebelas ahli asal ialah Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
-- BERNAMA