JOHOR BAHRU, 19 Jan (Bernama) -- Jasad dua beranak yang maut dalam kebakaran di Kampung Dato Bentara, Jalan Limau Manis, Ulu Tiram pada Jumaat lepas, selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Nirvana Memorial Park di sini hari ini.
Terdahulu, jasad Ng Geok Choo, 63, dan anaknya Lee Chiw Yong, 30, diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga serta rakan di Rumah Mayat Ulu Tiram sebelum dibawa ke Nirvana Memorial Park pada 1.15 tengah hari.
Upacara pembakaran jasad seorang lagi mangsa iaitu cucu kepada Ng, Chen Si Jing, 11, pula akan dilaksanakan esok.
Rakan kepada Lee, Tan Kok Wei, 37, meluahkan kesedihan di atas pemergian mendiang yang telah bekerja dengannya sejak tiga tahun lepas sebagai pembuat perabot di Singapura.
Tan berkata mendiang yang berperwatakan ceria merupakan seorang pekerja yang rajin dan disenangi ramai.
"Saya terkejut dan tidak percaya apabila dengar berita kematian Lee dan emak serta anak saudaranya.
"Dia seorang anak dan rakan yang baik serta sangat rajin bekerja. Beberapa hari sebelum kejadian dia datang kerja, karakter dia biasa sahaja dan ceria seperti selalu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Mayat Ulu Tiram di sini hari ini.
Tan seterusnya berkata mendiang juga bergiat aktif membantu orang ramai menerusi sebuah badan bukan kerajaan iaitu Kelab Sukan dan Rekreasi Saudagar Negeri Johor.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya Pegawai Bomba Kanan II Rafie Ahmad Sareng dilapor berkata ketiga-tiga mangsa melecur di seluruh badan, manakala seorang kanak-kanak lelaki yang terselamat iaitu Chen Yu Rong,12, pula melecur di muka serta tangan dan menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail di sini.
"Dua mangsa (ibu dan cucu) meninggal dunia di dalam bilik tidur depan, manakala mangsa anak lelaki berada di bilik air," katanya.
-- BERNAMA