EKONOMI

PM ANWAR KETENGAH AGENDA ASEAN DI PENTAS WEF 2025

20/01/2025 02:05 PM

Daripada Anas Abu Hassan

DAVOS (Switzerland), 20 Jan (Bernama) -- Sejajar dengan peranan sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengetengahkan suara kolektif negara anggota blok itu di pentas dunia ketika menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva Datuk Nadzirah Osman berkata kehadiran Anwar yang juga Menteri Kewangan pada 20-24 Januari di WEF 2025, juga penting dalam usaha menarik peluang perdagangan dan pelaburan baharu yang seiringan dengan sasaran ekonomi jangka panjang Malaysia.

Pada masa sama, beliau turut menekankan penyertaan Perdana Menteri dalam WEF 2025 akan melonjakkan profil serta kepimpinan negara ini yang seiringan dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.

“Kehadiran Perdana Menteri di Davos akan mengetengahkan keutamaan, inisiatif serta cabaran dihadapi ASEAN dan rantau ini, termasuk isu bersama seperti perubahan iklim, tenaga boleh baharu, transformasi digital dan pembangunan mampan.

“Ini turut membuka peluang bagi kerjasama strategik antara ASEAN dan komuniti antarabangsa, termasuk peluang pelaburan serta pembiayaan teknologi bagi rantau itu,” katanya pada sidang media bersempena kehadiran Perdana Menteri di WEF 2025 di sini, hari ini.

Anwar dijadual tiba di Davos pada lewat malam Isnin selepas menamatkan lawatan kerja beliau ke Brussels, Belgium.

Ini merupakan destinasi akhir lawatan kerja Perdana Menteri yang turut meliputi kunjungan ke Abu Dhabi (Emiriah Arab Bersatu atau UAE) dan London (United Kingdom).

Acara WEF 2025 juga adalah penyertaan pertama Anwar sejak menyandang tugas sebagai Perdana Menteri.

Beliau yang akan menghadiri persidangan itu selama dua hari, diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Nadzirah berkata antara program berimpak tinggi yang akan disertai oleh Anwar adalah Dialog Strategi Negara dengan kalangan pemimpin perniagaan syarikat-syarikat global yang menyaksikan Perdana Menteri berkongsi keutamaan dan inisiatif Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan selain meneroka peluang kerjasama bagi memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara.

Perdana Menteri akan turut menerajui sesi taklimat dengan media antarabangsa yang bertemakan “Unlocking ASEAN's Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness," dengan tumpuan terhadap Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) dan peluang dalam transformasi digital.

“Selain itu, Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama pada Sesi Awam Peringkat Tinggi: Pleno ASEAN yang bertajuk 'Even Stronger Together.'

“Pada kesempatan itu, beliau akan mengetengahkan keutamaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia bagi 2025 serta peranan penting ASEAN dalam membentuk landskap ekonomi global,” katanya.

Jadual padat Anwar juga dijangka menyaksikan beliau mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan pemimpin dari negara serta syarikat tertentu dalam usaha mengukuhkan kerjasama membabitkan kepentingan bersama.

Agenda itu termasuk mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Libya dan Belanda selain perbincangan bersama pemimpin perniagaan mewakili AstraZeneca, DP World, Medtronic, Nestlé dan Google.

Perdana Menteri akan turut menerima kunjungan hormat Pengasas WEF dan Pengerusi Lembaga Amanah Klaus Schwab.

Bertemakan “Collaboration for the Intelligent Age” Mesyuarat Tahunan WEF 2025 bagi 20-24 Jan, akan menumpukan peranan teknologi baharu dan inovasi dalam menangani cabaran ekonomi global.

Topik perbincangan itu akan menyentuh lima keutamaan - Industri Dalam Era Pintar; Membangunkan Semula Kepercayaan; Penciptaan Baharu Pertumbuhan; Pelaburan bagi Manusia dan Melindungi Planet.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan