AM

ASEAN SETUJU ADAKAN MESYUARAT MENTERI PELANCONGAN ASEAN-AUSTRALIA

20/01/2025 06:13 PM

JOHOR BAHRU, 20 Jan  (Bernama) -- Menteri-Menteri pelancongan ASEAN sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN-Australia, sebuah inisiatif baharu yang bertujuan memperkukuh kerjasama dalam sektor pelancongan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman berkata inisiatif ini telah dibincangkan secara mendalam semasa Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN dan kini sedang dalam perancangan.

“Kami telah mengemukakan alasan mengapa kerjasama dalam bidang pelancongan antara ASEAN dan Australia adalah tepat pada masanya dan Malaysia telah mendorong inisiatif ini. Semua menteri ASEAN telah bersetuju bahawa kita perlu mempereratkan lagi kerjasama antara ASEAN dan Australia.”

“Jadi, ini adalah satu lagi perkongsian yang akan kita laksanakan, dan kami berasa gembira dan bangga kerana telah mendorong perkara ini ke Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN dan ia telah diterima,” katanya.

Roslan berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media bersempena dengan penutupan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN bersama rakan dialog di sini, hari ini.

Mesyuarat itu diadakan bersempena Forum Pelancongan ASEAN 2025 (ATF 2025), yang berlangsung di sebuah hotel di sini bermula 15 Jan hingga hari ini.

ATF 2025 bertujuan mempromosikan produk pelancongan serantau, memudahkan perkongsian pengetahuan, membina jaringan berharga dan meningkatkan kerjasama dengan pemimpin pelancongan global untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke ASEAN.

Sementara itu, mengulas mengenai asas pemilihan Australia sebagai rakan dialog baharu ASEAN, Roslan berkata ini mengambil kira kedudukan negara-negara anggota yang berdekatan Australia dan kelebihan mata wang negara itu yang agak tinggi. 

“Kita sudah ada Jepun, China, Republik Korea, Persekutuan Rusia, dan India. Kita tidak hanya melihat ke arah Timur, tetapi juga ke Barat, utara dan kini kita pandang ke selatan pula.

“Rakyat Australia memang akan berkunjung ke negara ASEAN dan kawasan terdekat dengan Australia ialah Asia Tenggara, ASEAN. Namun, kita ingin memupuk lagi semangat kerjasama dan melihat produk-produk pelancongan yang boleh kita berkongsi dengan penduduk di negara itu,” katanya.

Katanya peningkatan kerjasama antara negara anggota dengan Australia dalam sektor pelancongan juga mungkin boleh menyelesaikan isu termasuk melibatkan kesukaran pelancong dari ASEAN untuk masuk ke negara tersebut.

“Kebanyakan isu pelancong Malaysia ke Australia susah hendak masuk sebab bekerja di sana. Masalah ini bukan bagi satu pihak sahaja, ia melibatkan kedua-dua pihak. Kita pun tidak mahu pelancong dari Malaysia dikenali sebagai pelancong bermasalah.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita kena menjadi pelancong yang bertanggung jawab. Ikut peraturan dan undang-undang tempatan kerana rakyat Malaysia ini dikenali sebagai mereka yang tertib, bersopan santun, dan mereka seronok terima kita, namun janganlah sampai satu hari nanti, bila tengok pasport Malaysia ia menjadi satu kesukaran,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan