AM

SPRM RAKAM PERCAKAPAN 18 ADUN SABAH BERKAITAN PEROLEHAN PROJEK MINERAL - AZAM BAKI

21/01/2025 06:59 PM

PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk dirakam percakapan berhubung dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata proses siasatan telah selesai dan pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

“Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan pegawai penyiasat supaya melengkapkan beberapa keterangan dan perlu disiapkan sebelum berakhirnya bulan ini.

“Saya beri jaminan, pada bulan Februari ini, saya sendiri akan maklumkan perkembangan terbaharu,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Azam berkata SPRM membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 selain turut dibantu polis Sabah.

Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan mengenai beberapa rakaman video memaparkan ADUN didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan sebuah syarikat untuk projek di sebuah negeri.

Perbincangan dalam video itu melibatkan seorang ahli perniagaan yang meminta ahli politik termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu apabila lesen untuk projek tersebut dibatalkan.

Sementara itu, Azam berkata SPRM akan mendakwa dua individu termasuk ketua pegawai operasi (COO) sebuah syarikat konsesi lebuh raya dalam tempoh terdekat berhubung kes rasuah membabitkan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.

Beliau berkata COO itu dijangka didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009 manakala seorang lagi individu yang merupakan pengurus projek sebuah syarikat swasta akan didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut akta sama.

Media sebelum ini melaporkan lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif dan dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya direman selepas disyaki meminta serta menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan