EKONOMI

TNG DIGITAL LANCAR CIRI TAMBAH NILAI BAHARU 'SOS BALANCE' DALAM EWALLET

23/01/2025 06:13 PM

Kuala Lumpur, 23 Jan (Bernama) -- TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) memperkenalkan ciri baharu dalam aplikasi TNG eWallet iaitu SOS Balance, bagi memastikan pengguna yang tidak mempunyai baki mencukupi masih dapat melalui plaza tol.

Ia akan diperkenalkan kepada pengguna eWallet TNG terpilih mulai hari ini secara percuma, yang memberikan mereka tempoh  24 jam untuk menambah nilai eWallet dan menyelesaikan sebarang caj tol tertunggak.

Pengerusi TNG Digital Effendy Shahul Hamid berkata ciri percuma itu akan menyumbang kepada aliran trafik yang lebih lancar dan mengurangkan kesesakan di plaza tol.

"Punca utama pengguna terperangkap di plaza tol adalah kekurangan baki dalam akaun TNG e-Wallet mereka.

“Ciri baharu ini membenarkan pengguna yang layak tapi mempunyai baki yang tidak mencukupi melalui plaza tol, namun diwajibkan menambah nilai eWallet mereka dan membayar caj tertunggak itu dalam masa 24 jam," katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran SOS Balance oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Alan Ni berkata ciri itu pada ketika ini hanya tersedia kepada pelanggan setia kerana mereka kurang berpotensi menyalahgunakannya.

“Kami amat menggalakkan pengguna membuat pembayaran dalam tempoh 24 jam, tetapi secara praktikalnya, pembayaran masih boleh dibuat selepas tempoh tersebut," katanya sambil menambah bahawa TNG Digital bersedia menyerap potensi kerugian.

Mengenai rancangan untuk melanjutkan perkhidmatan atau caj tempat letak kereta, Ni berkata syarikat itu perlu menilai prestasi, risiko dan potensi kerugian terlebih dahulu.

SOS Balance boleh digunakan di lebuh raya berdaya RFID dan PayDirect, dengan liputan semasa merangkumi 31 daripada 33 lebuh raya di seluruh Semenanjung Malaysia.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan