KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Gamuda Bhd, menerusi usaha sama dengan Ferrovial (GFJV), telah memeterai perjanjian penglibatan kontraktor (ECI) dengan Capricornia Energy Hub (CEH) bagi Sistem Penyimpanan Hidroelektrik Berpam Capricornia (PHES) di Queensland Tengah, Australia.
CEH dimiliki oleh Copenhagen Infrastructure Partners (CIP) yang juga antara pelabur tenaga bersih terbesar dunia.
Dalam kenyataannya, Gamuda berkata fasa ECI itu akan mengambil masa kira-kira lima bulan untuk merangka kontrak kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC) bagi pelaksanaan PHES.
“Pembangunan PHES itu dijangka bermula pada 2026 dan akan mewujudkan kira-kira 600 pekerja ketika fasa kemuncak pembinaan serta 65 pekerjaan di peringkat tempatan ketika operasi komersialnya,” katanya.
Gamuda berkata PHES yang terletak kira-kira 80 kilometer ke barat Mackay di Queensland Tengah, berperanan penting dalam campuran tenaga masa depan Queensland dan menyediakan tenaga berpatutan serta dipercayai bagi kemudahan kira-kira 900,000 unit rumah di Queensland.
Sistem ini juga turut merangkumi pam berkapasiti 750 megawatt (MW) dan kemudahan penjanaan yang mampu menbekalkan tenaga berterusan selama 16 jam.
"Menerusi kapasiti penyimpanan sebanyak 12 gigawatt sejam (GWj), sistem itu akan merangkumi takungan luar dan kira-kira lima kilometer ke hiliran dari empangan Eungella yang sedia ada," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Australia Ewan Yee berkata projek penting itu hanyaa membuktikan komitmen mereka terhadap masa depan tenaga boleh baharu Queensland selain memperluaskan kedudukan syarikat itu di serata Australia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CEH John Carr berkata pelantikan rakan ECI itu menjadi pencapaian penting bagi hab itu yang membolehkan mereka memanfaatkan kepakaran Gamuda serta Ferrovial bagi merekabentuk pam hidro yang cekap kos.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan rakan ECI dan rangkaian serantau mereka yang kukuh untuk membuka lebih banyak peluang bagi kontraktor tempatan serta menyokong rantaian bekalan setempat,” katanya.
-- BERNAMA