Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 25 Jan (Bernama) -- Beregu lelaki negara Man Wei Chong dan Tee Kai Wun melangkah ke perlawanan akhir Masters Indonesia 2025 dengan bergaya selepas mengejutkan 'senior' mereka Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Wei Chong dan Kai Wun mengambil masa 31 minit untuk menundukkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024 itu, dengan kemenangan 21-18, 21-15 dalam aksi separuh akhir di Istora Senayan di sini, hari ini.
"Kami bermain tanpa tekanan tadi dan berjaya melaksanakan perancangan permainan dengan baik. Perlawanan esok dijangka mencabar, tetapi kami berharap yang terbaik," kata Wei Chong selepas perlawanan.
Senada dengan kenyataan Wei Chong, Kai Wun pula bertekad untuk memberikan aksi terbaik esok, sambil menekankan bahawa keyakinan itu sangat penting.
Pasangan nombor 13 dunia itu dijadual berdepan beregu tuan rumah, yang juga pasangan nombor empat dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam aksi final.
Fajar-Muhammad Rian, yang mendapat sokongan padu, turut mara selepas menewaskan gandingan muda dari Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dengan keputusan 21-14, 24-22 dalam aksi 48 minit.
-- BERNAMA