Oleh Sarinah Mat Kasim
KUALA PILAH, 26 Jan (Bernama) -- Persembahan air pancut muzikal di Tokong Si Thian Kong menjadi tarikan utama masyarakat Tionghua dan pelancong tempatan serta luar negara untuk mengunjungi satu daripada lokasi pelancongan popular di sini.
Pertunjukan antara 15 minit hingga 20 minit itu turut diserikan limpahan sinaran laser berwarna-warni diiringi alunan muzik yang harmoni.
Naib Pengerusinya Loh Kok Wah berkata keunikan rumah ibadat berkeluasan 7.2 hektar yang mula dibuka pada 2015 itu dikeliling alam semula jadi mempunyai nilai sejarah tersendiri dan lebih terserlah ketika waktu malam menerusi limpahan lampu berwarna-warni menghiasi bangunan berkenaan.
“Antara pelancong datang ke sini dari Singapura, China, Taiwan, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Indonesia, selain pengunjung tempatan. Tokong ini juga pernah mencatat jumlah kedatangan pengunjung lebih 10,000 pada satu malam semata-mata untuk menyaksikan persembahan muzikal diadakan setiap Sabtu dan Ahad,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Loh, 60, berkata kedatangan pengunjung akan terus bertambah terutamanya pelancong dari luar, apabila menjelangnya Tahun Baharu Cina kerana pelbagai aktiviti disediakan seperti konsert, kolam air muzikal, karnival makanan dan pelbagai gerai jualan bagi memeriahkan lagi sambutan kali ini.
Beliau berkata sebagai persiapan menyambut perayaan kali ini, pihaknya menempah khas pelbagai jenis lampu hiasan terutamanya hiasan LED dari China dengan kos hampir RM400,000.
Kawasan sekeliling juga dipenuhi hiasan lampu LED serta lebih 100 hiasan tanglung menambahkan lagi kemeriahan.
"Di sini kita ada pelbagai pengunjung yang sama-sama menyaksikan kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina, ada juga pasangan pengantin yang datang melakukan sesi bergambar di sini untuk dijadikan kenangan," kata anak jati Kuala Pilah itu.
Sementara itu, bagi pengunjung, Yong Ker Sin,39, berkata dia dan keluarga datang ke Kuala Pilah sejak Jumaat lepas dan akan tinggal di kawasan sekitar sehingga sambutan Tahun Baharu Cina.
Pengunjung dari Perak itu berkata mereka sekeluarga mengunjungi ke tokong berkenaan kerana mahu menyaksikan persembahan air pancut muzikal yang boleh dilihat secara percuma.
"Kami memilih bercuti di negeri ini untuk melihat persembahan air muzikal … ia sangat menarik, lampu hiasan juga semuanya cantik, kami berasa seperti berada di luar negara," katanya yang akan pulang ke Ipoh selepas sambutan perayaan nanti.
Bagi pengunjung dari Johor Bahru, Tay Chan Yew, 37, berkata ini kali pertama dia datang ke Kuala Pilah bagi melihat sendiri keindahan dan seni bina yang menarik di tokong ini.
Ibu kepada dua anak itu berkata selain beribadat, mereka juga teruja melihat hiasan di tokong ini yang dipenuhi dengan pelbagai bentuk menarik seperti bunga sakura, hiasan naga dan kolam air pancut.
-- BERNAMA