AM

BEKALAN AIR OPTIMUM DI PULAU PINANG KETIKA MUSIM PERAYAAN TAHUN BAHARU CINA

27/01/2025 03:35 PM

GEORGE TOWN, 27 Jan (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan mengoptimumkan perkhidmatan bekalan air ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina, bermula Rabu. 

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata ketika ini paras Sungai Muda melebihi tahap selamat iaitu 2.0 meter(m) manakala kapasiti efektif tiga empangan utama juga mencukupi buat masa ini.

"Sehingga semalam Empangan Air Itam mencatatkan 75.2 peratus, Empangan Teluk Bahang (60.3 peratus) dan Empangan Mengkuang Diperbesarkan (90.3 peratus) manakala sembilan loji rawatan air (LRA) beroperasi sepenuhnya. 

"Paras Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang di Seberang Perai Utara (SPU) melebihi tahap selamat iaitu 2.0m sejak 1 Jan dan PBAPP mengabstrak air mentah dari sungai itu untuk menyokong pengeluaran air optimum di LRA Sungai Dua," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tanpa sebarang kejadian tidak diingini, LRA Sungai Dua akan terus menghasilkan air  secara optimum sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina.

 Selain air terawat dari Sungai Dua, Pathmanathan memaklumkan LRA Bukit Toh Allang di Seberang Perai Tengah (SPT) akan beroperasi pada tahap optimum untuk membekalkan kira-kira 39.1 JLH di kawasan perkhidmatannya manakala LRA Bukit Panchor bersedia mengeluarkan tambahan kira-kira 20.2 JLH air untuk kegunaan di Seberang Perai Selatan (SPS).

Bagi daerah Timur Laut iaitu bahagian pulau terdapat empat LRA iaitu di Air Itam, Bukit Bendera, Guillemard dan Air Terjun yang menghasilkan 76.6 JLH air terawat.

"Perkhidmatan bekalan air di Timur Laut  juga di sokong oleh aliran masuk air terawat dari LRA Sungai Dua, melalui tiga set saluran paip dasar laut berkembar dan walaupun kapasiti efektif Empangan Air Itam 2,159 juta liter (JL) tidak optimum, terdapat air yang mencukupi tersedia daripada empangan itu untuk musim Tahun Baharu Cina," katanya.

LRA Batu Ferringhi dan LRA Sungai Pinang di Daerah Barat Daya (DBD) turut bersedia menyalurkan kira-kira 53.8 JLH air terawat, khususnya untuk bekalan di kawasan utara dan barat bahagian pulau dengan kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang 18,240ML mencukupi pada ketika ini.

PBAPP tidak merancang melaksanakan sebarang gangguan bekalan air berjadual (SWSI) semasa musim perayaan itu, sebaliknya menggerakkan 200 petugas respons kecemasan untuk siap siaga 24 jam selain menyediakan 10 lori tangki. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan