DUNIA

TBC CHINA JADI HARI PERAYAAN DUNIA

30/01/2025 03:08 PM

BEIJING, 30 Jan (Bernama-CMG) -- Pasar sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di Chinatown, Singapura penuh dengan pengunjung, tarian singa pula dipersembahkan di Malaysia semasa menyambut perayaan itu manakala pesta seni cahaya lampu Tahun Ular diadakan di kawasan glasier di Pergunungan Alps.

Suasana perayaan TBC semakin meriah di seluruh dunia menjelang kedatangan TBC. Netizen (warga maya) pelbagai negara tidak melepaskan peluang menonton Gala TBC Kumpulan Media China (CMG), menghayati adat resam tradisional China selain saling mengucapkan selamat menyambut TBC menerusi pelbagai platform media sosial.

Kesemua ini membuktikan TBC yang merupakan hari perayaan tradisional China telah menjadi "hari perayaan seluruh dunia".

TBC merupakan hari perayaan yang bersejarah paling lama dan paling penting dalam kalangan masyarakat Cina.  Ia diwartakan sebagai cuti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada akhir 2023 dan tersenarai sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada akhir 2024.

Ketua Pengarah UNESCO Audrey Azoulay semasa mengucapkan selamat tahun baharu kepada rakyat China baru-baru ini berkata setelah tersenarai sebagai ICH, TBC telah menjadi adat resam global yang membawa kegembiraan dan keamanan kepada masyarakat di seluruh dunia.

Pada masa ini, TBC diisytiharkan sebagai cuti umum di kira-kira 20 negara.

Lebih 2,900 media di lebih 200 negara dan kawasan membuat siaran langsung atau liputan tentang Gala TBC CMG. Jumlah layaran di platform Internet global melebihi 1.738 bilion kali dan jumlah tontonan video di seberang laut mencatat 520 juta.

Keghairahan penduduk China terhadap sambutan TBC, harapan terhadap tahun yang baharu serta sikap menjunjung tinggi persamaan global sedang tersebar ke seluruh dunia melalui perayaan TBC. TBC bukan sahaja milik China, tetapi seluruh dunia.

--BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan