THE HAGUE (Belanda), 31 Jan (Bernama) -- Sembilan negara, termasuk Malaysia, akan bersidang di The Hague bagi membincangkan komitmen bersama dalam menegakkan undang-undang antarabangsa, menangani ancaman terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan mempertahankan hak rakyat Palestin.
Lapan negara lain yang menyertai persidangan itu ialah Belize, Bolivia, Chile, Colombia, Honduras, Namibia, Senegal dan Afrika Selatan.
Susulan mesyuarat itu, kumpulan berkenaan dijangka membentuk Kumpulan The Hague dan akan mengumumkan langkah-langkah undang-undang, ekonomi serta diplomatik yang terselaras bagi memastikan Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa, termasuk tindakan berterusannya di Gaza.
Pengumuman itu akan dibuat dalam sidang media pada sebelah petang yang dianjurkan oleh Progressive International, sebuah organisasi politik antarabangsa.
"Kumpulan The Hague lahir daripada keperluan," kata Penyelaras Bersama Progressive International, Varsha Gandikota-Nellutla dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat (31 Jan).
"Dalam dunia di mana negara berkuasa bertindak sewenang-wenangnya, kita mesti bersatu mempertahankan prinsip keadilan, kesaksamaan dan hak asasi manusia," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa "pelanggaran undang-undang oleh Israel bukan sekadar pembunuhan beramai-ramai dan penindasan terhadap rakyat Palestin.
Mereka turut menyerang asas undang-undang antarabangsa yang menjadi tanggungjawab masyarakat dunia untuk mempertahankannya," kata Anwar, yang lantang dan konsisten memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Mesyuarat yang dianjurkan oleh Progressive International ini akan menghimpunkan wakil-wakil dari sembilan negara bagi meneroka tindakan bersama di peringkat nasional dan antarabangsa dalam menyokong undang-undang antarabangsa serta hak rakyat Palestin ketika krisis berterusan ini.
Perbincangan ini akan berlandaskan tindakan yang telah diambil oleh negara-negara berkenaan, termasuk keputusan Belize dan Bolivia untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel. Chile pula telah merujuk situasi di Palestin kepada ICC pada Januari 2024 serta menarik balik duta negara itu dari Israel.
Colombia menggantung pembelian senjata dan eksport arang batu ke Israel serta memutuskan hubungan diplomatik.
Honduras pula secara konsisten mengutuk tindakan genosid terhadap rakyat Palestin, manakala Malaysia mengenakan larangan maritim terhadap kapal berkaitan Israel daripada berlabuh di pelabuhan negara ini dan tidak menjalinkan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.
Namibia pula telah menyekat sebuah kapal yang membawa penghantaran peralatan ketenteraan ke Israel serta mengutuk keputusan Jerman untuk menyokong Israel dalam kes genosid yang dibawa oleh Afrika Selatan , sambil mengimbau kembali sejarah Jerman dalam genosid di Namibia antara 1904 dan 1908.
Senegal, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Ousmane Sonko, komited untuk mengambil "tindakan lebih konkrit" dalam menyokong hak rakyat Palestin.
Afrika Selatan telah mengambil langkah bersejarah dengan mengemukakan kes terhadap Israel di ICJ atas pelanggaran Konvensyen Genosid, sekali gus mencipta satu duluan penting dalam undang-undang antarabangsa.
"Tindakan kami bukan bersifat hukuman, tetapi pencegahan – bertujuan memastikan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa dan melindungi golongan yang rentan," kata Menteri Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan, Ronald Lamola, dalam kenyataan bersama itu.
"Pembentukan Kumpulan The Hague menandakan titik perubahan dalam tindak balas global terhadap sikap pengecualian serta kemerosotan meluas undang-undang antarabangsa. Ia menyampaikan mesej jelas: tiada negara boleh bertindak di luar batas undang-undang, dan tiada jenayah akan dibiarkan tanpa tindakan," katanya lagi.
The Hague, yang dikenali sebagai Kota Keamanan dan Keadilan menjadi lokasi simbolik bagi mesyuarat bersejarah ini kerana menempatkan Istana Keamanan, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan ICC, melambangkan aspirasi masyarakat dunia untuk sebuah sistem yang diperintah oleh undang-undang dan bukannya kekerasan.
"Dunia tidak boleh hanya bersiap sedia dan melihat, apabila lebih 75 tahun lalu kita telah berikrar bahawa tidak akan ada lagi penderitaan akibat kekejaman di dunia," kata Menteri Kehakiman Namibia, Yvonne Dausab.
"Kita tidak boleh dan tidak harus memilih bulu dalam melindungi nyawa, tidak kira siapa mangsanya. Semua nyawa penting, nyawa rakyat Palestin juga penting," katanya.
Progressive International menyatakan bahawa mesyuarat hari ini dan jangkaan pengumuman langkah perundangan, ekonomi dan diplomatik terselaras itu hadir pada saat genting, ketika undang-undang antarabangsa menghadapi cabaran yang belum pernah dihadapi sebelum ini.
Pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel di Gaza – yang telah didokumentasikan oleh mahkamah antarabangsa dan dikutuk oleh masyarakat madani global – terus dibiarkan tanpa tindakan, didorong oleh sokongan diplomatik dan ketenteraan daripada sekutu-sekutunya yang berkuasa.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan tindakan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump yang mengenakan sekatan terhadap ICC, sekali gus melemahkan institusi yang ditubuhkan untuk menegakkan keadilan dan kebertanggungjawapan.
Melalui penyelarasan langkah undang-undang, ekonomi dan diplomatik, Kumpulan The Hague berhasrat untuk mengganggu sistem yang membolehkan pelanggaran undang-undang antarabangsa serta memastikan pihak yang bersalah dipertanggungjawabkan, menurut kenyataan Progressive International.
-- BERNAMA