DUNIA

29 BANDUAN PALESTIN YANG DIBEBASKAN TIBA DI GAZA DI BAWAH PERTUKARAN GENCATAN SENJATA

31/01/2025 11:03 AM

GAZA CITY (Palestin), 31 Jan (Bernama-AA) -- Sekumpulan 29 banduan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel tiba di Genting Gaza lewat Khamis sebagai sebahagian daripada kumpulan ketiga dalam perjanjian pertukaran banduan di bawah perjanjian gencatan senjata, lapor Agensi Anadolu (AA).

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengangkut banduan berkenaan melalui Pintu Masuk Kerem Shalom di timur Rafah, selatan Gaza, menurut wartawan Anadolu.

Mereka kemudian dibawa ke Hospital Eropah Gaza di Khan Younis, selatan Gaza, untuk pemeriksaan perubatan.

Sembilan daripada banduan yang dibebaskan berasal dari Gaza, manakala 20 lagi yang berasal dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis dipindahkan ke Gaza.

Rakaman dari Khan Younis menunjukkan orang ramai berhimpun untuk menyambut kepulangan mereka, mengangkat mereka di bahu sambil melaungkan sorakan.

Tahanan yang dibebaskan itu turut bertemu semula dengan keluarga dan ibu masing-masing dalam suasana penuh emosi.

Pertukaran terbaru ini melibatkan 110 banduan Palestin, termasuk 32 banduan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup, 30 remaja serta 48 lagi dengan hukuman yang berbeza-beza.

Puak Palestin di Gaza sebelum ini membebaskan tiga tahanan Israel: Agam Berger, Arbel Yehud dan Gadi Mozes.

Pertukaran kedua berlangsung pada Sabtu, melibatkan pembebasan empat tentera wanita Israel dari Gaza, sementara Israel membebaskan seorang warga Jordan dan 199 rakyat Palestin dari penjaranya.

Pertukaran pertama berlaku pada 19 Jan, hari pertama perjanjian gencatan senjata, apabila tiga wanita awam Israel dibebaskan sebagai pertukaran untuk 90 tahanan Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, kesemuanya dari Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis.

Fasa pertama perjanjian yang dibahagikan kepada tiga peringkat selama 42 hari setiap satu ini memperuntukkan pembebasan beransur-ansur 33 rakyat Israel -- sama ada yang masih hidup atau mayat si mati -- sebagai pertukaran bagi 1,700 hingga 2,000 tahanan Palestin dan Arab.

Serangan Israel ke atas Gaza telah menyebabkan lebih 11,000 orang hilang dengan kemusnahan besar serta krisis kemanusiaan yang mengorbankan ramai warga emas dan kanak-kanak dalam satu daripada bencana kemanusiaan global paling buruk.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap pada November terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang di wilayah itu.

-- BERNAMA-AA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan