KAMPALA, 1 Feb (Bernama-Xinhua) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyumbangkan 2,160 dos vaksin ujian Ebola kepada Uganda bagi menilai keberkesanan vaksin itu dalam menangani virus berkenaan, susulan kes terbaharu wabak itu yang meragut nyawa seorang petugas kesihatan di ibu negara, Kampala, lapor Xinhua.
WHO sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Uganda, Institut Paru-paru Universiti Makerere dan Institut Penyelidikan Virus Uganda, serta pakar filovirus, pengawal selia dan ujian klinikal dari seluruh dunia bagi memulakan ujian klinikal, menurut kenyataan yang disiarkan di laman sesawang WHO.
Kementerian Kesihatan Uganda pada Khamis mengisytiharkan wabak Ebola selepas seorang jururawat lelaki berusia 32 tahun yang bertugas di Hospital Rujukan Nasional Mulago di Kampala meninggal dunia akibat jangkitan virus Ebola Sudan (SVD).
"Matlamat ujian vaksin ini adalah untuk menilai keberkesanan calon vaksin berpotensi dan jika terbukti berkesan, ia boleh membantu menamatkan wabak semasa serta melindungi populasi berisiko pada masa hadapan," kata WHO.
"Mereka yang layak menyertai ujian ini adalah individu yang berisiko tinggi dijangkiti SVD, termasuk kontak rapat pesakit yang disahkan menghidap SVD atau yang telah meninggal dunia akibat penyakit itu. Lokasi kajian akan melibatkan kawasan tempat tinggal kontak kes atau kes berkenaan."
Setakat ini, belum ada rawatan atau vaksin yang diluluskan untuk virus Sudan, namun rawatan sokongan awal terbukti dapat mengurangkan kadar kematian dengan ketara, menurut WHO.
Wabak SVD sebelum ini di Uganda bermula pada September 2022 dan berakhir pada Januari 2023, dengan 164 kes dan 77 kematian direkodkan.
Semasa penularan wabak, jawatankuasa pakar luar WHO menilai beberapa calon vaksin dan mengesyorkan kesesuaiannya untuk diuji di Uganda sebagai sebahagian daripada ujian klinikal terhadap virus SVD.
"Proses ujian vaksin kini merangkumi taklimat kepada pasukan penyelidik mengenai prosedur ujian serta persiapan logistik. Pasukan penyelidik telah dikerahkan ke lapangan untuk bekerjasama dengan pasukan pemantauan sementara menunggu kelulusan," menurut WHO dalam kenyataan itu.
WHO turut menyatakan bahawa kadar kematian akibat penyakit virus Sudan dalam wabak sebelum ini berbeza antara 41 peratus hingga 100 peratus.
-- BERNAMA-XINHUA