EKONOMI

MALAYSIA HARUS AMBIL PENDEKATAN PROAKTIF KURANGKAN RISIKO DEPANI PERUBAHAN LANDSKAP PERDAGANGAN GLOBAL

05/02/2025 03:16 PM

 

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Malaysia harus mengambil pendekatan proaktif untuk mengurangkan risiko dan memanfaatkan peluang yang muncul apabila landskap perdagangan global berubah disebabkan oleh kenaikan tarif import dilaksanakan Amerika Syarikat, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata negara perlu mengembangkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan meneruskan perjanjian perdagangan dua hala dan pelbagai hala untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi.

“Melibatkan diri dengan blok perdagangan seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan memastikan akses berterusan kepada pelbagai pasaran,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Afzanizam berkata Malaysia harus mengukuhkan kapasiti domestiknya menerusi pelaburan dalam pembangunan modal insan khususnya dalam pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur, ia penting untuk meningkatkan daya saing Malaysia.

"Tenaga kerja yang berpendidikan tinggi dan infrastruktur yang mantap akan menarik pelaburan asing dan meningkatkan kepelbagaian ekonomi," katanya.

Selain itu, beliau berpendapat bahawa Malaysia perlu meningkatkan kepelbagaian perdagangannya dengan mengembangkan portfolio perdagangan melalui penglibatan dalam industri nilai tambah, inisiatif ekonomi digital dan pelaburan tenaga hijau.

“Ini akan mengurangkan pergantungan kepada eksport pembuatan tradisional dan mewujudkan laluan pertumbuhan baharu dalam sektor teknologi tinggi dan mampan,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump baru-baru ini mengumumkan pengenaan tarif import sebanyak 25 peratus terhadap Kanada dan Mexico serta tarif 10 peratus ke atas China.

Bagaimanapun, Trump kemudian bersetuju untuk menghentikan sementara pengenaan tarif terhadap Mexico dan Kanada selama 30 hari.

Sementara itu, Afzanizam berkata pertukaran ringgit-dolar US dijangka turun naik antara RM4.40 dan RM4.50, dengan paras sokongan serta-merta pada RM4.45 dan rintangan pada RM4.36.

“Peristiwa penting untuk diberi perhatian ialah tindak balas Rizab Persekutuan (Fed) AS terhadap perkembangan ini kerana ia akan membentuk dasar monetari masa depan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) seterusnya dijadualkan diadakan pada 18 dan 19 Mac akan menyediakan unjuran ekonomi baharu dan pasaran dijangka mengalami ketidaktentuan menjelang mesyuarat itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan