AM

JUMLAH MANGSA BANJIR DI SARAWAK MENURUN, SABAH MENINGKAT PETANG INI

05/02/2025 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak menurun manakala di Sabah meningkat, setakat 4 petang ini. 

Di SARAWAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan jumlah mangsa terus menurun kepada 5,281 orang berbanding 5,747 orang pagi tadi, dengan 29 PPS di enam bahagian beroperasi.

Bahagian Bintulu kekal merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu 1,889 daripada 1,966 orang pada pagi tadi diikuti Miri dengan 1,291 berbanding 1,404 orang sebelum ini, manakala di Sibu dan Samarahan kekal dengan masing-masing 848 dan 294 orang.

Mangsa banjir di Serian mencatatkan penurunan kepada 507 berbanding 792 orang sementara jumlah di Bahagian Mukah meningkat kepada 452 berbanding 443 orang yang direkodkan pagi tadi. 

Selain itu, tiga PPS iaitu sebuah di Bintulu dan dua di Miri ditutup petang ini susulan banjir pulih.

Sementara itu di SABAH, jumlah mangsa meningkat kepada 201 orang daripada 53 keluarga petang ini berbanding 137 orang daripada 40 keluarga, pagi tadi.

 Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan Kinabatangan merupakan satu-satunya daerah masih dilanda banjir di negeri berkenaan.

 Jawatankuasa itu memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau menempatkan 71 orang daripada 19 keluarga manakala 130 mangsa terdiri daripada 34 keluarga berlindung di PPS SK Bukit Garam.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan