DUNIA

MEXICO KERAH 10,000 ANGGOTA KAWAL SEMPADAN SELEPAS PERBINCANGAN DENGAN TRUMP

05/02/2025 10:01 PM

MEXICO CITY, 5 Feb (Bernama-Xinhua) -- Presiden Mexico Claudia Sheinbaum mengesahkan bahawa 10,000 anggota Pengawal Kebangsaan mula dikerahkan di sepanjang sempadan sejauh 3,200 kilometer dengan Amerika Syarikat, lapor Xinhua. 

Langkah memperkukuh kawalan sempadan itu merupakan sebahagian daripada perjanjian yang dicapai sehari sebelumnya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi memerangi penyeludupan fentanyl serta membendung migrasi haram. 

Dalam satu sidang media, Sheinbaum berkata pasukan keselamatan ditempatkan semula daripada kawasan dengan risiko rendah ke sempadan, namun menegaskan bahawa tindakan itu tidak akan menjejaskan keselamatan di bahagian lain negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa dalam rundingan bersama Trump, mereka bersetuju menubuhkan kumpulan kerja bagi menangani isu keselamatan. Selain itu, Trump juga berjanji untuk menyiasat kemasukan senjata dari Amerika Syarikat ke Mexico.

"Kedua-dua pihak perlu bekerjasama agar perdagangan senjata dapat dikurangkan dan penyeludupan dadah dapat dibanteras," katanya. 

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Trump turut mengumumkan penangguhan rancangan mengenakan tarif tambahan 25 peratus terhadap import dari Mexico selama sebulan. 

Pada Sabtu, Trump menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan tarif tambahan ke atas import dari Kanada dan Mexico.

Bagaimanapun, pada Isnin, beliau menangguhkan tindakan itu selama 30 hari selepas mencapai persetujuan saat akhir dengan kedua-dua negara bagi meneruskan rundingan lanjut. 

-- BERNAMA-XINHUA 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan