AM

SASARAN 1,600 PESERTA PROTÉGÉ-RTW DIJANGKA DICAPAI MENJELANG 2028

05/02/2025 11:15 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) --Sasaran seramai 1,600 peserta menyertai PROTÉGÉ-RTW (Ready To Work) melibatkan kerjasama Korea Aerospace Industries (KAI) dengan pemain industri tempatan dijangka dapat dicapai menjelang 2028.

Ketua Pegawai Eksekutif Kemalak Marine Sdn Bhd, Lt Kdr (B) Mohd Faizal Ab Aziz berkata setakat ini seramai 760 individu telah menyertai program itu melibatkan tiga sesi pengambilan.

Beliau berkata program PROTÉGÉ-RTW adalah salah satu obligasi kontrak KAI dalam membekalkan pesawat FA-50M Block 20 kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan Kemalak Marine menjadi penganjur program tersebut.

"Semua peserta telah ditempatkan di kumpulan syarikat Kemalak, agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat lain, termasuk perniagaan kecil dan sederhana. Ada juga antara mereka yang menunjukkan prestasi baik dan diserap sebagai petugas,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil kepada peserta bagi Program PROTÉGÉ-RTW Siri ke-3 2024, di sini, hari ini."

Sementara itu, Mohd Faizal berkata Kemalak Marine bersedia membantu mana-mana syarikat, terutama melibatkan syarikat antarabangsa yang dianugerahkan kontrak oleh kerajaan tetapi tidak dapat melaksanakan obligasi kontrak dalam menganjurkan program PROTÉGÉ.

“Ini bagi membolehkan syarikat tersebut mendapat kod hijau seterusnya memudahkan syarikat menyertai mana-mana tender oleh kerajaan Malaysia pada masa akan datang,” katanya."

"Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan Dr Mohd Bakhari Ismail dan Ketua Pengurusan Program Malaysia Korea Aerospace Industries (KAI) Sung Il Yoon.

Kementerian Pertahanan telah menandatangani kontrak pembelian 18 FA-50M Block 20 dengan KAI pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA'23) di Pulau Langkawi pada Mei 2023 dengan kumpulan pertama pesawat pejuang ringan itu dijadualkan diterima pada tahun depan.

Kemalak System Sdn Bhd iaitu salah satu syarikat di bawah kumpulan syarikat Kemalak merupakan konsultan teknikal bagi KAI di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan