AM

JIM TERENGGANU TAHAN 12 PENDATANG TANPA IZIN

06/02/2025 04:08 PM

KUALA TERENGGANU, 6 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan 12 pendatang tanpa izin dalam Op Sapu dan Op Belanja di tiga daerah, semalam.

Pengarahnya Mohd Yusri Mohd Nor berkata ia hasil pemeriksaan ke atas 38 lelaki warga asing di tapak pembinaan, premis perniagaan dan kawasan awam di daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang.

Beliau berkata 12 pendatang asing ditahan termasuk warga Myanmar, Bangladesh, Kemboja dan Myanmar berusia antara 18 hingga 57 tahun.

"Ketika operasi seorang lelaki warga Myanmar yang ditahan bertindak terjun ke dalam tasik bagi mengelak diberkas.

"Pegawai penguat kuasa JIM terpaksa menggunakan perahu milik penduduk kampung untuk menyelamatkannya selepas melihat dia tercungap-cungap dan terkapai-kapai meminta pertolongan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yusri berkata warga asing yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna pas lawatan.

Seorang lelaki warga tempatan katanya turut diberi notis hadir ke JIM Terengganu bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan