DUNIA

RAKYAT JEPUN DIPERDAYA DENGAN JUMLAH REKOD PENIPUAN DI MEDIA SOSIAL PADA 2024

06/02/2025 11:50 PM

TOKYO, 6 Feb (Bernama-Kyodo) -- Orang ramai di Jepun diperdaya dengan jumlah wang tertinggi dalam penipuan cinta dan pelaburan di media sosial pada 2024, dengan jumlah kes meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya, lapor data polis yang dikeluarkan pada Khamis, menurut Kyodo News.

Penipu mencuri kira-kira 126.8 bilion yen (US$833 juta), meningkat 81.3 bilion yen berbanding 2023, menurut angka awal yang dikeluarkan oleh Agensi Polis Nasional.

Jumlah penipuan pelaburan meningkat kepada 6,380 kes, meningkat 4,109, manakala penipuan cinta melonjak kepada 3,784 kes, meningkat 2,209.

Kes jenayah yang digelar sebagai "penipuan khas", termasuk yang melibatkan penipu yang menyamar sebagai penyiasat polis, mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 72.2 bilion yen, meningkat 59.4 peratus, menurut data tersebut.

Jumlah kes penipuan khas meningkat 10.2 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 20,987. Dalam kira-kira 80 peratus kes, mangsa dihubungi melalui telefon, dengan sebahagian besar panggilan datang dari luar negara, menurut laporan itu.

Akaun bank dalam talian digunakan dalam semua penipuan yang berkaitan dengan media sosial serta kebanyakan kes penipuan khas, kerana ia membolehkan jumlah yang lebih besar dipindahkan berbanding mesin ATM. Transaksi dalam talian juga lebih sukar dikesan.

Polis memberi amaran kepada orang ramai untuk berwaspada dengan individu yang mendesak mereka membuka atau menggunakan akaun bank dalam talian dan turut meminta institusi kewangan memperkenalkan sistem pemantauan untuk mengesan transaksi penipuan.

Jumlah kes jenayah yang disiasat pada 2024, termasuk penipuan, meningkat untuk tahun ketiga berturut-turut, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 737,679 kes.

-- BERNAMA-KYODO

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan