KENINGAU, 6 Feb (Bernama) -- Bagaikan ‘adiwira’. Demikian menurut penduduk terjejas banjir di daerah ini sebagai penghargaan kepada pasukan keselamatan khususnya Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat yang bertindak pantas membantu mereka.
Peniaga gerai makanan Safiah Datu Masnor, 48, berkata beliau bersama keluarga terpaksa meninggalkan rumah malam tadi selepas dimasuki air dan anggota APM telah memindahkan mereka dengan kadar pantas.
"Saya bersama suami dan tiga anak terkejut apabila air naik dengan cepat. Air mula masuk ke dalam rumah sekitar 8 malam dan dalam masa sejam sahaja telah mencapai paras lutut, bekalan elektrik pula terputus, nasib baik APM ada bantu kami berpindah cepat," katanya.
Beliau dari Kampung Kauran Greg di sini berkata mereka hanya sempat menyelamatkan barangan berharga, dokumen penting dan beberapa helai pakaian manakala barangan perniagaan, perkakas elektik dan perabot terpaksa dibiarkan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan seramai 69 orang daripada 17 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Koningau di sini iaitu sebahagian daripada 322 mangsa (82 keluarga) yang berlindung di PPS akibat banjir di Sabah setakat 4 petang ini.
Kawasan terjejas banjir di Keningau termasuk Kampung Kauran, Kampung Kauran Greg, Kampung Patikang Ulu, Kampung Banjar, Kampung Bariawa Laut, Kampung Lingkudau Ulu, Kampung Lingkudau Ring, Taman Kok Lok, Taman Anggerik, Kampung Tamu Ground Keningau dan Jalan Pekan Keningau.
Md Jaafar Amit, 57, seorang pesara tentera dari Kampung Lingkudau Ring memberitahu beliau yang baharu pulang membeli barangan runcit bersama anaknya malam tadi, terkejut apabila mendapati rumah dimasuki air deras dan terus mengarahkan ahli keluarga untuk menyelamatkan diri.
“APM dan bomba sudah ada di kawasan berhampiran...kemudian mereka suruh angkat barang dan pindah cepat. Mereka bantu kami bawa barangan dan ingatkan bawa dokumen penting, mereka sangat profesional dan prihatin terutamanya kepada kanak-kanak dan warga emas,” katanya.
Beliau dan keluarga juga amat berterima kasih kepada pasukan keselamatan dan anggota jabatan kerajaan lain yang amat membantu mereka di PPS antaranya menyediakan makanan serta tempat tinggal sementara.
Timbalan Pengarah APM Sabah Left Kol (PA) Erwin @ Elverowen Kinsui berkata operasi intensif menyelamat mangsa banjir di Keningau malam tadi dilaksanakan pasukannya selama lima jam bermula 8 malam.
"Pusat kawalan operasi daerah APM Keningau menerima 26 panggilan kecemasan daripada orang ramai berkaitan banjir daerah ini," kata Erwin sambil menambah pihaknya turut membantu kenderaan yang tersangkut akibat banjir di kawasan terbabit.
Beliau berkata operasi melibatkan dua pegawai dan 15 anggota APM Keningau juga telah berjaya menyelamatkan sembilan keluarga dari Kampung Kauran Greg yang kemudiannya dipindahkan ke PPS Dewan Koningau.
Dalam pada itu, beliau berkata seorang wanita warga emas berusia 60-an dipatuk ular ketika cuba menyelamatkan diri daripada banjir di Kampung Kauran pada malam yang sama dan mangsa terpaksa menahan kesakitan selama beberapa jam sebelum diselamatkan pasukan APM.
"Mangsa mengalami kecederaan di tangan kiri akibat dipatuk ular ketika meredah banjir untuk keluar dari kampungnya. Beliau kemudiannya diselamatkan dan dihantar ke hospital pada 10.38 malam untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan banjir di beberapa kawasan di Keningau mula surut dan paras air Sungai Sook serta Sungai Pegalan kembali normal.
-- BERNAMA