DUNIA

KERAJAAN TAIWAN AKAN BELI LEBIH BANYAK VAKSIN INFLUENZA SUSULAN PERMINTAAN MENINGKAT

06/02/2025 09:09 PM

TAIPEI, 6 Feb (Bernama-CNA) -- Kerajaan Taiwan akan membeli 100,000 lagi dos vaksin influenza untuk kumpulan berisiko berikutan lonjakan permintaan dalam seminggu yang lalu, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

Pada sidang media di Taipei pada Khamis, jurucakap Kabinet Michelle Lee berkata Perdana Menteri Cho Jung-tai meluluskan rancangan untuk membeli tambahan 100,000 dos vaksin influenza yang dibiayai oleh kerajaan.

Dos tambahan ini akan tersedia di klinik di seluruh Taiwan seawal 20 Feb, kata Tseng Shu-huai, timbalan ketua Pusat Kawalan Penyakit Taiwan (CDC), pada sidang media.

Dos ini akan diperuntukkan untuk individu berumur 65 tahun ke atas, bayi berusia lebih enam bulan, kanak-kanak prasekolah dan mereka yang ditetapkan oleh CDC sebagai berisiko tinggi menghidap penyakit ini, katanya.

Tseng kemudiannya memberitahu CNA yang 100,000 dos itu akan dibeli selepas dikira bahawa purata 10,000 orang dalam kumpulan berisiko menerima vaksin setiap hari dalam minggu lalu. Beliau menjelaskan musim flu dijangka akan reda dalam dua minggu akan datang.

Menurut Kabinet, kerajaan mula menyimpan kira-kira 6.58 juta dos vaksin influenza yang dibiayai oleh kerajaan tahun lalu sebelum kempen dimulakan pada Oktober.

Bermula awal 2025, semua orang kecuali bayi di bawah enam bulan boleh mengakses baki 800,000 dos.

Namun, kematian pelakon Barbie Hsu pada usia 48 tahun akibat komplikasi berkaitan selesema pada 2 Feb mengejutkan masyarakat dan meningkatkan permintaan vaksin.

Menurut data CDC, 46,000 individu diberi vaksin pada Rabu dan baki 43,000 dos yang dibiayai oleh kerajaan masih ada.

Pada sidang media itu, Lee memetik Cho yang menggalakkan mereka yang belum divaksin dalam kumpulan berisiko untuk mendapatkan suntikan bagi melindungi diri mereka.

Sementara itu, Kabinet berkata bekalan vaksin influenza yang dibiayai sendiri adalah stabil.

-- BERNAMA-CNA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan